IPOH: Kerajaan negeri Perak akan membantu merealisasikan hasrat untuk mewartakan 33 perkara pertama di negara ini yang terletak di Taiping (Taiping 33 First) sebagai Bandar Warisan.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, beliau telah dimaklumkan oleh Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming berkaitan hasrat itu.
Menurut beliau, hasrat Nga yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayang itu selaras dengan apa yang dirancang oleh kerajaan negeri selama ini.
Beliau memberitahu, cadangan itu telah dikemukakan sejak 1996 sebagai salah satu pelan struktur pembangunan untuk menjadikan Taiping sebuah Bandar Warisan.
“Lanjutan daripada itu kita telah membuat beberapa langkah penyediaan perancangan dan kemudiannya, apabila kerajaan Persekutuan menubuhkan Koridor Utara turut meletakkan Taiping sebagai salah sebuah tempat penyeliaan koridor utara,” katanya dalam satu sidang media bersama Nga di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Khamis.
Dr Zambry berkata, kerajaan negeri tidak mempunyai sebagai masalah untuk melihat perkara yang diusulkan oleh Ahli Parlimen Taiping itu yang boleh berhubung secara terus dengan pihak Persekutuan.
“Manakala di peringkat kerajaan negeri, kita akan melakukan segala proses yang telahpun kita laksanakan selama ini untuk menjayakan dan mempercepatkan proses situ,” ujarnya.
Dr Zambry berpendapat, demi kepentingan awam dan kemajuan negeri Perak, hal-hal berkaitan politik tidak harus dicampur-adukkan di dalam perkara yang berkaitan pembangunan bagi satu-satu kawasan.
Dalam masa yang sama, Zambry berkata, pada 5 April lalu, pihak MPT Taiping telah menerima surat daripada Pesuruhjaya Warisan untuk memohon mendapatkan maklumat lanjut mengenai 33 tapak warisan tersebut.
Manakala, sepucuk surat lagi yang dikemukakan turut meminta supaya kerajaan negeri dapat menyelesaikan sekiranya ada perkara-perkara teknikal berkaitan tapak-tapak berkenaan.
Sementara itu, Nga memberitahu, sebanyak tujuh tapak yang terlibat dalam Taiping 33 First telah diwartakan sebagai Warisan iaitu Gereja All Saint, Muzium Perak, Penjara Taiping, Bangunan Pejabat Daerah, dan Tanah Larut Matang dan Selama, Perpustakaan Awam Taiping, Kota Ngah Ibrahim dan Sekolah Menengah King Edward VII.
Beliau berharap baki 26 lagi dapat diwartakan tahun ini supaya ia menjadi antara daya tarikan sepanjang Tahun Melawat Perak 2017.