SUNGAI MANIK - Orang ramai khususnya rakyat di negeri ini diminta supaya menyiasat sesuatu perkara sebaik mungkin sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan di laman sosial.
Exco Kerajaan Negeri, Datuk Rusnah Kassim berkata, tidak salah berkongsi maklumat bagi membantu mereka yang memerlukan bantuan tetapi ia perlulah dipastikan kesahihannya terlebih dahulu.
Kisah Ismail yang diviralkan kali kedua yang menarik perhatian ramai sekali lagi,
namun ia tidak seperti yang ditulis.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kisah warga emas, Ismail Kubin, 74, dari Parit 18B Sungai Lampam, yang sebelum ini pernah menjadi viral tinggal di rumah usang dan diviralkan semula baru-baru ini.
Rusnah berkata, rakyat mempunyai beberapa saluran dalam mendapatkan maklumat dan pada masa sama membantu mereka yang memerlukan pertolongan.
“Mereka boleh berjumpa ketua kampung, penghulu, pemimpin tempatan mahupun Adun untuk mendapatkan maklumat dan kesahihannya sebelum diviralkan.
“Insya-ALLAH pemimpin tempatan dan wakil rakyat akan mengambil tindakan segera untuk menyelesaikannya,” katanya selepas melawat Ismail di rumahnya, baru-baru ini.
Tambahnya, kes Ismail sebelum ini sudah mendapat perhatian Adun Sungai Manik yang juga merupakan Exco Kerajaan Negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin selepas menjadi viral hujung Februari lalu.
“Beliau (Zainol Fadzi) sudah mengambil tindakan pantas dan kita boleh lihat hasilnya sekarang di mana pakcik Ismail sudah menerima sebuah rumah baharu.
“Rumah ini sudah pun hampir siap tidak sampai dua bulan. Apa yang menjadi tanda tanya bagaimana ia menjadi viral semula dan siapa pelakunya,” katanya.
Menurut Rusnah, mungkin niat individu yang menviralkan kisah Ismail untuk kali kedua ini sekadar membantu beliau tetapi individu berkenaan perlu mendapatkan maklumat tepat.
“Ini kerana kita sudah membantu pakcik Ismail dan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pejabat Adun Sungai Manik sentiasa turun padang memantau keadaan beliau.
“Kita pun sudah dengar cerita dia tadi, di mana dia turut membantu jiran-jirannya dengan meminjamkan wang kepada mereka,” katanya.
Katanya, apabila kes ini diviralkan kali kedua, pelbagai pihak terpaksa mengambil masa untuk menerangkan situasi sebenar sedangkan masa itu boleh digunakan menyelesaikan masalah lain.
Ulang kaji sebelum viralkan sesuatu
Sementara itu, Zainol Fadzi berkata, selepas kes Ismail menjadi viral Februari lalu, beliau sudah melawat dan memberi bantuan kepada Ismail.
“Rumah pakcik Ismail pun sudah 98 peratus siap dan kerja-kerja pembersihan sedang dilakukan oleh pekerja yang membina rumah berkenaan.
“Insya-ALLAH dalam minggu ini, dia (Ismail) sudah boleh pindah ke rumah selepas Tenaga Nasional Berhad (TNB) Teluk Intan, memasang elektrik ke rumah baharunya,” katanya.
Menurut Zainol Fadzi rumah berkenaan diberi di bawah Yayasan Bina Upaya (YBU) dan kerja membina rumah tersebut bermula awal Mac lalu.
“Saya perlu tekankan bahawa kami sudah membantu pakcik Ismail sebaik mungkin dan dia merupakan penerima bantuan JKM sejak 1990 lagi.
“Dia juga memiliki bendang seekar dan diusahakan secara upah dengan pendapatan semusim RM700,” katanya.
Zainol Fadzi turut mengingatkan kepada individu yang menviralkan semula kisah Ismail ini perlu membuat sedikit ulang kaji dalam menyampaikan maklumat yang tepat.
“Saya akui kelemahan saya sebagai Adun kerana tidak mendapat maklumat mengenai pakcik Ismail sebelum ini, tetapi selepas mengetahuinya saya membantu beliau sebaik mungkin.
“Ia sama sekali bercanggah dengan apa yang diviralkan baru-baru ini kerana kami semua sudah membantu beliau,” katanya.
Tak sabar pindah rumah baharu
Ismail ketika ditemui di rumahnya bersyukur kerana kerajaan terutamanya Zainol Fadzi dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sering melawatnya.
“Pakcik terharu apabila diberi sebuah rumah baharu yang lebih selesa dan selamat untuk didiami selain menerima kunjungan pelbagai pihak.
“Alhamdulillah ALLAH masih murahkan lagi rezeki pakcik di usia begini,” katanya.
Ismail berkata, selepas menerima kunjungan Zainol Fadzi akhir Februari lalu, rumahnya tidak henti menerima kunjungan pelbagai pihak.
“Tapi seminggu selepas itu semakin kurang yang datang menghulur bantuan dan tiba-tiba minggu lalu orang makin ramai berkunjung semula.
“Pakcik pun tak tahu kenapa sebab mereka bertanya betul ke tiada siapa yang membantu. Pakcik jawab semua itu tidak betul,” katanya.
Tambahnya, dia juga tidak sabar untuk berpindah ke rumah baharu yang sudah hampir siap sepenuhnya.
TNB pasang elektrik melalui program CSR
Pagi kelmarin, TNB Teluk Intan sudah memasang bekalan elektrik ke rumah Ismail dan dia kelihatan begitu gembira.
Pengurus Kawasan TNB Teluk Intan, Ir Bakri Zamri berkata, pemasangan bekalan elektrik itu merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) TNB kepada komuniti.
“Kami mengalihkan servis dan meter rumah lama pakcik Ismail ke rumah baharunya memandangkan beliau sudah tidak mendiami rumah usang berkenaan.
“Rumah berkenaan sudah reput dan menunggu masa untuk roboh jadi adalah lebih baik ia dipindahkan terus kerana boleh membahayakan beliau,” katanya.
Pihak TNB juga turut menukar meter (jangka) lama kepada meter baharu (Ageing Meter) di kediaman Ismail.