BINJAI - Seorang pemandu Toyota Vios dan teman wanitanya nyaris maut apabila kenderaan dinaiki mereka tiba-tiba terbakar dalam kejadian di hadapan Masjid Mukim Binjai.
Dalam insiden kira-kira jam 2.40 petang Isnin lalu itu, mangsa, Kong Cha Wee, 20-an, bersama teman wanitanya itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Taman Alam Perdana, Pasir Semut Binjai dari Bandar Chukai.
Bagaimanapun, ketika tiba di hadapan masjid mangsa menyedari bahagian bonet hadapan keretanya terbakar sebelum dia memberhentikan kenderaan dan keluar dari Toyota Vios itu bersama teman wanitanya.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Chukai, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Abdul Wahab Hamzah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.45 petang sebelum tiba di lokasi kejadian lapan minit kemudian.
“Ketika kami tiba di lokasi kami dapati api sudah marak dan kami berjaya padamkan keseluruhan kebakaran kereta itu dalam tempoh setengah jam.
“Akibat kebakaran ini, hampir keseluruhan bahagian kereta ini musnah,” katanya.
Kerja-kerja pemadaman itu dilakukan dengan kekuatan empat anggota dan sebuah jentera bomba.