IPOH - Kerajaan negeri akan membantu pembeli-pembeli rumah yang teraniaya akibat projek perumahan terbengkalai termasuk berunding dengan pihak bank untuk menangguhkan pembayaran atau menghapuskan kadar faedah pembelian rumah.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Rusnah Kassim berkata, kerajaan negeri bersimpati dengan nasib pembeli-pembeli rumah yang berdepan pelbagai masalah selepas rumah mereka gagal disiapkan mengikut jadual.
Beliau berkata, dalam kes-kes seumpama itu, kerajaan negeri melalui Bahagian Perumahan Awam boleh menjadi perantara untuk membantu pembeli rumah berkenaan.
``Di Perak, melalui bahagian perumahan awam, kita akan berunding dengan pihak bank atau bahagian pinjaman kerajaan untuk lihat sama ada mereka boleh tangguhkan bayaran faedah. Kerajaan juga boleh berunding untuk memansuhkan terus faedah tersebut.
``Kalau mereka ada (akaun) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kita boleh jadi mediator supaya pencarum boleh keluarkan kali kedua caruman untuk bantu sekiranya mereka berhasrat untuk membeli rumah baharu,'' katanya.
Rusnah (BN-Behrang) berkata demikian ketika menjawab soalan Tan Kar Hing (PKR-Simpang Pulai) yang bertanya apakah langkah kerajaan untuk membantu pembeli rumah yang terpaksa berdepan pelbagai masalah akibat isu projek perumahan terbengkalai.
Menurut Rusnah, pihak kerajaan negeri bagaimanapun hanya boleh membantu jika projek berkenaan disahkan terbengkalai oleh pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Terdahulu, Rusnah memberitahu, terdapat 16 projek perumahan terbengkalai direkodkan di Perak setakat ini, dengan 11 daripadanya sudah dipulihkan manakala dua lagi dalam proses pemulihan.
``Dua lagi projek perumahan swasta yang terbengkalai sedang dalam proses awal untuk dipulihkan,'' katanya ketika menjawab soalan bertulis Kar Hing. - Suara Perak