top of page
muinsapidin

Pelbagai Inisiatif Untuk JKKK

IPOH - Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) berupaya bertindak sebagai ejen transformasi berkompetan dan proaktif demi kepentingan komuniti.

Selain merupakan kumpulan pemimpin yang paling hampir dengan rakyat luar bandar, mereka juga dipertanggungjawabkan memimpin dan mencorakkan kampung dengan kreativiti masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian, Perladangan, Penerangan dan Pembangunan Modal Insan, Datuk Saarani Mohamad berkata, kerajaan negeri telah pun melaksanakan pelbagai inisiatif khusus untuk kebaikan JKKK di negeri ini.

"Ketua-ketua kampung yang telah tamat tempoh perkhidmatan pada usia 69 tahun, kekosongan itu akan digantikan dengan calon yang lebih muda, bertenaga dan berpendidikan.

Mereka yang telah dilantik juga perlu mengenalpasti serta melantik seorang setiausaha dan seorang bendahari, juga 12 orang ahli JKKK yang memenuhi kriteria untuk ketuai 12 biro," katanya semasa menjawab soalan lisan YB Zainun Mat Noor (BN-Chenderoh) di Sidang DUN pada Khamis.

Dalam pada itu, Saarani memberitahu kerajaan negeri turut memperuntukkan elaun pengurusan JKKK berjumlah RM 5,000 setahun, selain mereka boleh menuntut elaun pengurusan mesyuarat JKKK RM100 setiap kali mesyuarat berlangsung.

"Terdapat juga beberapa alternatif dilaksana khas untuk memantapkan peranan mereka, misalnya pelaksanaan anugerah desa sejahtera 1Malaysia, beberapa kriteria telah dibangunkan sebagai indikator pencapaian setiap kampung.

"Kampung-kampung yang telah mendapat penganugerahan ini kemudiannya akan dilantik sebagai mentor untuk bantu JKKK kampung lain untuk mengikut kriteria serta kualiti yang ditetapkan," katanya.

Antara JKK yang telah tersenarai sebagai desa lestari abad ke-21 termasuk Kampung Sempeneh, Kampung Beng, Kampung Semerloh dan Kampung RBK Perlop 3.


27 views0 comments
bottom of page