IPOH - Kerajaan negeri memandang serius ancaman internet ketika ini yang membuka ruang seluas-luasnya kepada serangan pemikiran yang mengelirukan dan menyesatkan masyarakat Islam.
Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria berkata, perkara yang boleh menyebabkan perpaduan menjadi longgar itu perlu dianggap sebagai ancaman dan pendekatan menanganinya secara kerap telah dan akan diambil.
“Fenomena langit terbuka dalam era globalisasi telah membuka ruang seluas-luasnya kepada serangan pemikiran. Justeru itu, kita telah melaksanakan beberapa pendekatan yang berhemah dengan penuh kebijaksanaan bagi mengukuh perpaduan di kalangan masyarakat Islam.
“Beberapa program telah dilaksanakan seperti mengadakan Seminar Ahli Sunnah Wal Jamaah, melaksanakan penyelarasan pembacaan teks khutbah Jumaat setiap minggu seluruh Perak dan menyediakan modul pembelajaran akhlak iaitu Penghayatan Cara Hidup Islam kepada pelajar dan masyrakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan dari Datuk Mohd Zolkafly Harun (BN-Lintang) ketika Sidang DUN ke-13 di Ipoh pada Khamis.
Tambah beliau, ajaran Islam perlu difahami, dihayati dan diamalkan dalam kehiduapn seharian dan kegagalan dalam menguasai salah satu elemen tersebut boleh menimbulkan kekeliruan dan keresahan dalam masyarakat Islam sehingga menyebabkan keruntuhan perpaduan.
Katanya, bagi tujuan itu, kerajaan negeri juga telah menerapkan pemahaman dan penghayatan kepada guru-guru takmir dan dakwah melalui pertemuan dan kelas-kelas tafaqquh fid din.
“Antara program-program yang telah dilaksanakan adalah seperti Bahayanya fahaman Syiah, Siapa IS/ISIS, Hakikat Tareqat, Perpecahan dan Penyelesaian kepada Ummah, ini hanya sebahagian.
“Sepanjang 2015 pula, sebanyak 29,760 kali kelas pengajian guru takmir telah dilaksanakan melibatkan pengajian di masjid dan surau seluruh negeri ini,” jelasnya.