top of page
muinsapidin

Lelaki Ditahan Bersama Pistol, Wang Tunai

TELUK INTAN - Seorang lelaki berumur 38 tahun ditahan bersama sepucuk pistol dan wang tunai berjumlah RM25,353 selepas mengugut bunuh pemandu lain di Bandar Baru, di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Wan Hassan Wan Ahmad berkata, suspek ditahan selepas meminta wang ganti rugi berjumlah RM3,000 dan mengugut bunuh seorang pemandu berusia 28 tahun selepas berlaku kemalangan kecil di antara mereka.

Menurut beliau, kejadian pada 1.30 tengah hari itu berlaku selepas suspek dipercayai hampir melanggar belakang kereta milik mangsa di Batu,1 Jalan Maharajalela dan suspek bertindak menghalang kereta mangsa sebelum menendang kereta serta menunjukkan sepucuk pistol di pinggangnya.

“Dalam keadaan ketakutan, mangsa telah memecut ke Lower Club Perak sambil menghubungi abangnya untuk mendapatkan perlindungan,” katanya pada satu sidang media di Teluk Intan pada Khamis.

Wan Hassan berkata, sebelum ditahan polis, suspek sempat dihalang oleh abang mangsa di pekarangan berkenaan dan suspek telah meminta ganti rugi sebanyak RM3,000 dan mengugut untuk membunuh mangsa.

“Kita akan teruskan siasatan mungkin ada elemen lain lagi, kita percaya ada link lagi dan sebagainya,” ujarnya.

​Tambah beliau, suspek yang mempunyai beberapa rekod jenayah termasuk kes di bawah Seksyen 4B Akta Rumah Judi Terbuka 1952 itu turut ditahan bersama sebiji pil yang dipercayai dadah.

Katanya, saringan urin mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan akan direman lima hari sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8(a) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.


18 views0 comments
bottom of page