PENGKALAN CHEPA - Pelajar di sebuah sekolah menengah di Pengkalan Chepa di sini diarahkan bercuti hari ini selepas sesi persekolahannya 'terganggu' sejak Isnin lalu apabila lebih 50 pelajarnya serta beberapa gurunya didakwa diserang histeria.
Kejadian terbabit dipercayai bermula pada Isnin lalu selepas ada pelajar mendakwa melihat lembaga hitam berlegar-legar di sekolah berkenaan.
Pelajar tersebut kemudian rebah dan meracau-racau sebelum 'berjangkit' kepada pelajar lain.
Seorang mangsa, Raja Nor Athirah 17, yang merupakan pelajar tingkatan 5 di sekolah berkenaan berkata, dalam kejadian pada kelmarin dia berasa kebas di kedua-dua belah tangan sebelum fikiran menjadi berserabut.
"Mula-mula kedua-dua tangan kebas, selepas itu dunia rasa gelap dan serabut. Saya mula menangis sehinggalah guru-guru datang membantu," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
"Anak saya pulang ke rumah memberitahu dia tidak perlu ke sekolah esok. Namun pihak sekolah tidak memberikan sebarang penjelasan atau sebab kenapa sekolah ditutup," katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Jaafar Ismail ketika dihubungi berkata, perkara itu adalah merupakan masalah dalaman sekolah selain enggan mengulas lanjut.