top of page
muinsapidin

Kerajaan Diminta Wujud MRSM Di Kerian

IPOH- Kerajaan diminta mewujudkan sebuah sekolah berasrama penuh atau Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di daerah Kerian.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat, ini adalah selaras dengan hasrat masyarakat Kerian untuk melihat kewujudan sebuah sekolah berasrama penuh atau MRSM menjadi kenyataan.

Katanya, hasrat yang diidamkan oleh masyarakat Kerian ini bersandarkan kepada pencapaian akademik oleh pelajar UPSR dan SPM yang amat membanggakan.

“Daerah Kerian sentiasa menunjukkan prestasi baik dan unggul dalam pencapaian akademik, maka oleh itu amat wajarlah sebuah sekolah berasrama penuh atau MRSM diwujudkan di daerah ini,’’ katanya semasa membahaskan Titah Diraja pada persidangan Dewan Negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Khamis.

Sham memberi contoh keputusan UPSR tahun 2011, Daerah Kerian menduduki tempat ketiga dalam negeri Perak, 2012 (kedua), 2013 (ketiga) dan tahun 2015 tempat kedua.

Katanya, bagi peperiksaan SPM pula, Daerah Kerian menduduki tempat kedua pada tahun 2011, 2012 (kedua), 2013 (pertama), 2014 (kedua) dan 2015 tempat pertama.

Beliau turut menyuarakan keluhan 1,835 pesawah yang mengusahakan tanaman padi seluas 4,697 hektar di sekitar Selinsing dan Gunung Semanggol yang tidak dapat meneruskan penanaman padi akibat jadual pengairan yang tidak menentu.

Katanya, berdasarkan keadaan semasa, jadual pengairan untuk tanaman sawah padi bagi kawasan itu terpaksa ditunda kepada 20 April berbanding jadual asal 10 April.

Mengenai program pemukiman, Sham berkata, inisiatif kerajaan negeri itu amat dihargai dan ia merupakan platform kerajaan untuk meninjau permasalahan rakyat di peringkat akar umbi secara terus.


30 views0 comments
bottom of page