IPOH - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Gajah, Abdullah Fauzi Ahmad Razali mencadangkan kerajaan supaya menempatkan hufaz di masjid-masjid di seluruh negeri Perak bagi membantu meningkatkan syiar Islam.
Katanya, para hufaz ini boleh ditempatkan sebagai iman dan bilal sepenuh masa dengan diberi imbuhan yang setimpal dengan pengalaman mereka.
Menurut Abdullah Fauzi, beliau difahamkan seramai kira-kira 20,000 hufaz telah menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini dan bilangan mereka yang sebegitu ramai ini selayaknya ditempatkan di masjid-masjid bagi membantu meningkatkan syiar Islam.
“Saya mencadangkan para hufaz ini ditempatkan di masjid-masjid daerah atau masjid di luar bandar yang taburan penduduk Islamnya ramai,’’ katanya semasa membahaskan Titah Diraja pada persidangan Dewan Negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Khamis.
Beliau percaya para hufaz itu mampu memberikan perkhidmatan terbaik mereka kepada masyarakat kampung dan bandar apabila mereka berada dalam institusi masjid.
“Malah mereka ini juga boleh membina kerjaya dengan menjadi penceramah dan motivator serta pensyarah sambilan bagi menambah pendapatan,’’ ujarnya.
Abdullah juga yakin dengan kemampuan para hufaz di dalam membantu kerajaan bagi mencapai matlamat melahirkan seorang hafiz bagi setiap keluarga.
Beliau turut meminta kerajaan supaya membina sebuah balai bomba di Kampung Gajah bagi mengatasi masalah kes-kes kebakaran di kawasan berkenaan.
Katanya, itu perlu kerana ketika ini tiada balai bomba di Kampung Gajah sehingga menimbulkan banyak masalah kepada penduduk memandangkan perkhidmatan bomba yang ada ialah di Seri Iskandar dan Teluk Intan yang jaraknya kira-kira 30 kilometer.