top of page
muinsapidin

Jangan Kelirukan Rakyat Dengan Istilah 'Kelulusan Ratusan Ribu Ekar Tanah'

IPOH: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd. Kadir menegur pembangkang kerana sering menggunakan istilah mengelirukan dengan mendakwa kononnya kerajaan negeri mengamalkan polisi menganugerahkan atau meluluskan ratusan ribu ekar tanah kepada pelbagai pihak tanpa memberi pulangan hasil kepada kerajaan.

Menurut beliau, istilah "meluluskan ratusan ribu ekar tanah" seperti yang sering digunakan pembangkang adalah tidak tepat dan mengelirukan memandangkan terdapat tanah-tanah luas yang diluluskan adalah bertujuan penerokaan hasil termasuk dalam sektor perlombongan.

"Misalnya, kerajaan nak hidupkan semula industri bijih timah, justeru kajian perlu dilakukan di kawasan yang luas. Contohnya, 20,000 ekar tanah dibenarkan untuk tujuan kajian. Syarikat-syarikat melakukan kajian di tanah berkenaan dengan pemantauan kerajaan, akhirnya didapati hanya 200 ekar (daripada keluasan 20,000 ekar) yang ada bijih timah. Jadi akhirnya kita hanya luluskan permit (melombong) untuk kawasan 200 ekar sahaja, bukan 20,000 ekar.

"Jadi jangan kita kelirukan rakyat (dengan) beri pesepsi dengan istilah beratus ribu ekar tanah.

Kita kena faham konsep amalan kita. Pembangkang pun tahu perkara ini kerana mereka juga pernah jadi kerajaan. Tapi setiap kali sidang dibangkitkan perkara yang sudah berkali-kali diberi penjelasan oleh kerajaan,'' katanya.

Dr. Zambry (BN-Pangkor) berkata demikian sebagai ketika menjawab soalan tambahan Nga Kor Ming (DAP-Kepayang) mengenai polisi kerajaan negeri meluluskan ratusan ribu ekar tanah kepada pelbagai pihak.

Menurut Dr. Zambry, Kor Ming dan ADUN Ngeh Koo Ham sering membangkitkan isu pemberian tanah setiap kali sidang DUN tanpa memberi gambaran jelas mengenai kaedah dan amalan sebenar dalam pengurusan tanah di negeri Perak.

Menjawab pertanyaan Kor Ming sama ada kerajaan akan mengamalkan polisi tender terbuka dalam kelulusan pemberian tanah, Dr Zambry berkata, kerajaan negeri mempunyai beberapa pendekatan yang dilihat memberi keuntungan kepada kerajaan negeri selain meluluskan atau menjual tanah begitu sahaja.

Dr. Zambry dengan sinis berkata, istilah tender terbuka boleh memberi pelbagai tafsiran dengan merujuk apa yang berlaku dalam kontroversi jualan tanah Taman Manggis melibatkan kerajaan DAP Pulau Pinang.

``Tapi kita tidak mahu sentuhlah apa yang berlaku di Pulau Pinang. Bagi kita, isu ini tidak ada masalah. Pemberian tanah secara tender bukan hanya satu-satu pendekatan. Misalnya, kita boleh jual tanah dan dapat hasil tinggi. Tetapi kerajaan negeri mengamalkan pendekatan memberi tanah kepada syarikat-syarikat kerajaan negeri untuk dibangunkan, bukan untuk dijual.

``Apabila dibangunkan, ia bukan sahaja memberi keuntungan kepada syarikat-syarikat milik kerajaan, tetapi juga kepada kerajaan negeri sama ada jangka masa pendek atau jangka masa panjang,'' jelas beliau.

Menurut beliau, apa yang penting ialah bagaimana tanah atau aset kerajaan diurus secara berhemah termasuklah dalam soal pengurusan kewangan secara berhemah.

Dalam soal itu, kata beliau, kerajaan negeri mendapat pengiktirafan pengurusan kewangan terbaik oleh Jabatan Audit Negara pada tahun lalu. - Suara Perak


19 views0 comments
bottom of page