top of page
muinsapidin

Ibu Muda Dan Bayi Mati Dibunuh

RAWANG: Seorang ibu dan bayinya ditemui mati dalam sebuah bilik di rumahnya di Taman Rawang Perdana 2, Rawang pagi tadi. Dalam kejadian kira-kira 10 pagi itu, wanita tempatan berusia 34 tahun dan bayinya berumur tujuh bulan ditemui terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri di rumah teres dua tingkat itu.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Ali Ahmad berkata wanita itu ditemui terbaring di tepi katil, manakala bayi perempuannya di atas katil. "Berdasarkan maklumat orang awam, pintu belakang rumah mangsa didapati terbuka dan hasil pemeriksaan polis di tempat kejadian mendapati tiada barang milik mangsa hilang. "Polis juga mengesan tiada sebarang kecederaan pada kedua-dua mangsa dan mayat dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini. Ali berkata ketika kejadian, suami mangsa seorang pemandu lori, dikatakan keluar bekerja kira-kira 3 pagi tadi. Motif kejadian belum diketahui dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, katanya. Sementara itu, adik ipar mangsa berusia 25 tahun yang tidak mahu dikenali, berkata mangsa yang bekerja sebagai Eksekutif Kewangan Pesakit di Institut Jantung Negara (IJN) tidak menunjukkan sebarang tingkah laku luar biasa sebelum ini. Beliau berkata mereka baru bertemu semalam, apabila beliau berkunjung ke rumah kakak iparnya itu. "Semalam, semasa berjumpa dia ada ucapkan selamat hari lahir kepada saya...itu sahaja pesanan dia. Tiada apa yang ganjil. Kami sekeluarga masih trauma dan tidak mahu diganggu...biarlah semuanya selesai dahulu," katanya dalam nada sebak. Beliau berkata mangsa sepatutnya menghantar bayinya kepada keluarga suami, sebelum ke kuil untuk bersembahyang sempena sambutan perayaan Vaisakhi atau Tahun Baru Sikh. "Saya rasa pelik kerana dia gagal dihubungi sejak 7 pagi tadi, jadi saya minta bapa saya ke rumahnya. Sebaik bapa tiba di rumah kakak ipar saya pada 9.30 pagi, dia mendapati menantu dan cucunya sudah meninggal dunia," katanya. Sementara itu, jiran mangsa Kalaivani Krishnan, 32, berkata kira-kira 6.30 pagi tadi ketika beliau sedang menjemur kain, beliau terlihat pintu belakang rumah mangsa tidak tertutup. Beliau yang merupakan seorang suri rumah, bagaimanapun tidak mengesyaki sesuatu yang pelik berlaku ke atas jirannya kerana melihat kereta mangsa berada di depan rumah dan menganggap dia sedang bercuti. "Kemudian bapa mertua mangsa datang dan mengetuk pintu rumah mangsa, tetapi tiada jawapan. Saya pun beritahu dia, pintu belakang tidak berkunci."Dia masuk ke dalam rumah. Saya kemudian terdengar dia menjerit memanggil nama mangsa. Saya terkejut dan terus masuk ke rumah mangsa dan naik ke tingkat atas, dan nampak kedua-dua mangsa terbaring di salah sebuah bilik di rumah itu," katanya bahawa mangsa dan suaminya telah menyewa rumah tersebut sejak setahun lepas. Kalaivani berkata selepas menyedari kejadian itu, beliau memaklumkan kepada suaminya yang kemudian membuat laporan polis. Beliau berkata mereka sekeluarga tidak mendengar sebarang bunyi pergaduhan atau pergelutan di rumah mangsa pada pagi itu.


9 views0 comments
bottom of page