top of page
muinsapidin

Dakwaan Nizar Mengenai KUISAS Tidak Benar

IPOH - ADUN Bukit Chandan (BN), Maslin Sham Razman mengecam tuduhan berterusan tidak berasas ADUN Changkat Jering, Datuk Seri Nizar Jamaluddin terhadap institusi pengajian terkemuka negeri, Kolej Universiti Sultan Azlan Shah (KUISAS) sepanjang persidangan ke-13 berlangsung.

Beliau berkata, tindakan wakil rakyat itu seolah-olah merupakan satu taktik memanipulasikan mentaliti rakyat untuk menyalahkan pentadbiran institusi pengajian tersebut walhal lontaran tuduhan itu adalah tidak benar sama sekali.

Menurut Maslin, beliau telah melakukan siasatan dan mendapati yuran pengajian KUISAS bukanlah RM48,000, sebaliknya RM 23,000 bagi peringkat ijazah sarjana muda dan hanya RM 14,000 bagi peringkat diploma.

“Ini merupakan jurang perbezaan yang amat banyak dan sebenarnya yuran tersebut antara yang paling mampu dibayar oleh pelajar mahasiswa di seluruh Malaysia, selain daripada pelbagai jenis bantuan pembiayaan yang boleh ditawarkan bagi membantu mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Bilik Media di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat Persidangan Dewan Negeri ke-13 pada petang Khamis.

Sambil menyangkal dakwaan bahawa sebuah padang golf akan dibangunkan di dalam premis KUISAS, Maslin berkata, sebagai seorang pemimpin, ADUN Changkat Jering itu tidak sepatutnya melontarkan tuduhan tanpa memeriksa sendiri terlebih dahulu.

Menurut beliau, sebanyak 200 kotak parkir telah disediakan untuk kakitangan KUISAS manakala pelajar yang membawa kenderaan boleh meletakkannya berhampiran dewan makan dan perkarangan stadium, namun masalah parkir terhad masih berlaku berikutan saiz kampus yang terhad.

Katanya, beliau telah mengemukakan cadangan kepada pihak pengurusan untuk meningkatkan sistem kawalan keselamatan parkir di luar kampus agar pelajar lebih yakin untuk menghadiri kuliah di waktu pagi hingga ke malam.

Berikutan dakwaan bahawa wujud aktiviti perlombongan di kawasan tanah yang diberikan oleh kerajaan negeri, Maslin menafikannya dan berkata, tanah yang dibangunkan sebagai ladang saraan KUISAS sepenuhnya dan tiada perkara seperti didakwa.

“Sepanjang empat penggal persidangan berlangsung, KUISAS tidak henti-henti dicemuh dan dikecam dengan pelbagai tuduhan yang sebenarnya tidak benar dan ini akan mencemarkan institusi keislaman Perak yang amat dekat di hati kita ini.

“Cukuplah, jangan memanipulasikan benda ini seolah-oleh seorang pejuang dan pembela rakyat dan hentikan politik tidak sihat ini kerana kita tidak ingin masyarakat menyangka KUISAS ini ditadbir dengan salah,” ujarnya.


29 views0 comments
bottom of page