top of page
muinsapidin

Culik Rakyat Malaysia: Duta Filipina Dipanggil

PUTRAJAYA - Kementerian Luar Negeri telah memanggil Duta Besar Republik Filipina ke Malaysia, TYT Jose Eduardo E. Malaya semalam untuk mengulangi permohonan Malaysia bagi mendapatkan bantuan Kerajaan Filipina di dalam usaha-usaha membebaskan empat warga Malaysia yang diculik lelaki bersenjata pada 1 April lalu.

Gambar Hiasan

Empat rakyat Malaysia diculik adalah Wong Teck Kang, 31; Wong Hung Sing, 34; Wong Teck Chii, 29 dan Johnny Lau Jung Hien, 21.

Permintaan yang sama telah dibuat oleh Kedutaan Malaysia di Manila kepada Jabatan Hubungan Luar Negeri Republik Filipina pada 6 April 2016.

Sebelum itu, pada 4 April lalu, Menteri Luar Negeri Malaysia, Yang Berhormat Dato' Sri Anifah Haji Aman telah memohon kerjasama Kerajaan Filipina melalui Setiausaha Hubungan Luar Negeri Republik Filipina.

Malaysia telah menegaskan kepentingan untuk memastikan keselamatan empat warga Malaysia terbabit dan mengulangi komitmen Malaysia untuk terus bekerjasama erat dengan Kerajaan Filipina di dalam usaha ke arah pembebasan empat warga Malaysia berkenaan.

Duta Besar Republik Filipina telah memberi jaminan kepada Malaysia bahawa Kerajaan Filipina sedang mengambil semua langkah-langkah yang perlu untuk mengesan lokasi empat warga Malaysia tersebut. - Bernama


13 views0 comments
bottom of page