IPOH - Bantuan Sewa Rumah yang disalurkan kepada rakyat golongan keterbawahan dan miskin di bawah Program e-Kasih melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) wajar diteruskan bagi membantu masyarakat setempat.
ADUN Changkat Jong (BN), Datuk Mohd Azhar Jamaluddin berkata, bantuan bulanan sebanyak RM124 itu sebenarnya amat membantu meringankan beban golongan yang memerlukan pembiayaan perumahan mereka.
Katanya, baru-baru ini Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah menghentikan proses bantuan pembiayaan Bantuan Sewa Rumah itu dan ianya sewajar tidak berlaku.
“Masih lagi ramai di kalangan rakyat yang memerlukan bantuan itu, maka saya ingin mencadangkan agar kerajaan negeri dapat melakukan perbincangan bersama KPKT dengan segera.
“Saya yakin ianya dapat mengurangkan kos sara hidup rakyat di negeri ini dan menyelesaikan permasalahan pembiayaan di peringkat akar umbi,” katanya dalam sesi perbahasan di Mesyuarat Persidangan Dewan Negeri pada petang Khamis.
Selain itu, Azhar juga mengutarakan isu mengenai kesejahteraan rakyat yang melibatkan penambahbaikan pendapatan kepada masyarakat dalam kawasan bandar terutamanya golongan peniaga.
Katanya, Program Perniagaan di Hadapan Rumah yang turut disokong oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) adalah satu inisiatif murni yang amat mudah dijalankan di samping menjana pendapatan sampingan kepada rakyat.
“Saya juga ingin mencadangkan bahawa lebih banyak gerbang malam, pasar malam atau pasar pagi diwujudkan bagi menempatkan peniaga tempatan, peniaga kecil-kecilan secara berpusat dan seterusnya memperkasa kegiatan ekonomi negeri sekaligus.
“Penambahan ruang niaga juga harus dilakukan dengan mencari kawasan strategik iaitu pengambilan dan pembelian tanah daripada individu untuk kepentingan rakyat,” katanya lagi.
Azhar berkata, kerajaan negeri dengan kerjasama kerajaan Persekutuan juga wajar membina lebih banyak ruang pejabat kecil dan bazaar dengan kadar sewa minima di sekitar pinggir bandar dan taman-taman perumahan.