IPOH - Sebanyak 16 projek perumahan swasta di negeri Perak telah diisytiharkan terbengkalai sepanjang tempoh lima tahun dari tahun 2010 sehingga 31 Julai 2015.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Rusnah Kassim berkata, daripada jumlah itu sebanyak 11 berjaya dipulihkan dan disiapkan manakala dua projek sedang dalam peringkat pemulihan dan baki tiga dalam perancangan awal pemulihan.
Katanya, 11 projek yang telah siap dipulihkan ialah Puncak Boungainvilla Sungai Buaia, Kuala Kangsar (279 unit), Taman Bukit Riah, Kroh, Gerik (95 unit), Taman Jalan Intan Permata, Gerik (95 unit), Taman Pinggir Rishah Hijau, Ipoh (432 unit), Taman Gading Sungai Terap, Kinta (50 unit).
Desa KPMP, Kampung Gajah (298 unit), Taman Sri Bemban (55 unit), Taman Perpaduan Bercham (91 unit), Taman Kota Lenggong (52 unit), Kinta Pine Villa, Kinta (132 unit) dan Taman Gopeng Perdana Kampar (99 unit).
Menurut beliau, dua projek terbengkalai yang sedang dipulihkan ialah Taman Tapah Permai, Tapah (73 unit) dan Taman Kinding Raya, Ulu Kinta (376 unit ).
Rusnah berkata, tiga projek terbengkalai yang masih dalam perancangan untuk dipulihkan ialah Taman Limau Mas, Beruas (48 unit) Taman Diawan Kampar (24 unit) dan Taman Emas Kampar (154 unit).
``Untuk memastikan perkara ini tidak berulang lagi, kerajaan negeri sentiasa mendapatkan maklumat dan pengesahan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk menyemak status pemaju-pemaju yang berurusan dengan kerajaan negeri,’’ katanya semasa menjawab soalan lisan YB Tan Kar Hing (DAP-Simpang Pulau) pada persidangan Dewan Negeri di Ipoh pada Khamis.
Menurutnya, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan mengambil tindakan menyenarai hitam pemaju-pemaju yang menyebabkan projek perumahan terbengkalai.
``Apabila disenarai hitam, pemaju dan ahli lembaga pengarah terbabit tidak boleh memohon lesen dan permit iklan serta jualan yang baru.
``Pemaju juga tidak akan dibenarkan membaharui permit iklan dan jualan sedia ada manakala senarai pemaju yang disenarai hitam akan dipaparkan di laman sesawang KPKT untuk rujukan pembeli dan stakeholders yang lain,’’ katanya.