top of page
muinsapidin

‘Kaki Palsu Sorok Di Tempat Lain’

JOHOR BAHRU - Seramai lima pengemis dan tiga kanak-kanak diselamatkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah dalam operasi di dua lokasi berasingan, malam kelmarin.

Operasi melibatkan 14 kakitangan itu bermula sekitar jam 7 malam dan berakhir hingga 1 pagi itu membabitkan kawasan pasar malam Gelang Patah serta Bandar Baru Uda turut menahan seorang lelaki berumur 52 tahun.

Seorang pengemis yang ditahan di pasar malam Gelang Patah.

Pegawai JKM Johor Bahru, Manayi Ibrahim berkata, lima pengemis yang ditahan di pasar malam Gelang Patah terdiri daripada dua warga China, Kemboja (seorang), Thailand (seorang) dan juga seorang rakyat tempatan dari Pontian yang sanggup menyewa teksi, berumur antara 37 hingga 55 tahun.

Menurutnya, kebanyakan pengemis yang diselamatkan adalah orang kurang upaya (OKU) dan menggunakan kekurangan itu untuk meraih simpati pengunjung di pasar malam walaupun sebenarnya mereka mampu bergerak.

“Malah, seorang rakyat Kemboja dilihat mengemis tanpa kakinya, tetapi apabila diserbu memberitahu, dia mempunyai kaki palsu yang disorokkan di tempat lain. Ada juga pengemis yang pernah ditahan sebelum ini, namun masih mengemis.

“Seorang pengemis juga memohon derma untuk pembinaan madrasah di negara asal, namun gagal mengemukakan bukti dia telah mendapat kebenaran turut ditahan. Wang berjumlah RM950 turut ditemui.

“Mereka diselamatkan di bawah Akta Orang Papa 1977. Buat sementara mereka ditempatkan di Rumah Seri Kenangan (RSK)," katanya kepada Sinar Harian.

Manayi berkata, tiga kanak-kanak termasuk dua perempuan berumur antara 11 hingga 14 tahun turut diselamatkan di bawah Akta Kanak-kanak 2001 dalam operasi di kawasan Bandar Baru Uda.

“Kanak-kanak lelaki berumur 14 tahun ditahan ketika jual bedak dan dipercayai dia dihantar seseorang ke kawasan berkenaan bersama dua kanak-kanak lain, namun kita gagal menemui mereka. Dia kini ditempatkan di rumah Taman Sinar Harapan Tampoi.

“Dua kanak-kanak perempuan berumur 11 dan 12 tahun pula ditahan bersama seorang lelaki yang mendakwa bapa mereka, berasal dari Singapura, namun gagal mengemukakan dokumen diri ketika mereka sedang menjual minyak wangi.

“Maklumat yang diberikan lelaki terbabit juga bercanggah dengan apa dimaklumkan dua kanak-kanak perempuan tersebut. Mereka ditempatkan di Rumah Perlindungan Kanak-kanak Jalan Petri, sementara lelaki terbabit di RSK," katanya.

Menurutnya, pengemis terbabit ditahan sebulan untuk tujuan siasatan dan operasi tersebut dijalankan, hasil maklumat orang ramai berikutan kehadiran mereka mengganggu laluan pejalan kaki. - Sinar Harian


21 views0 comments
bottom of page