Kerajaan Negeri digesa memberi keutamaan kepada langkah menwujudkan ladang sayur berskala besar bagi merebut peluang ekonomi yang dijana sektor pertanian ini.
Menurut ADUN Trong, Datuk Dr Zabri Abd Wahid, pengwujudan ladang sayur berkeluasan 500 hektar ini dapat menjadikan Perak sebagai negeri jelapang sayur sekaligus memberi ruang besar kepada petani untuk mengoptimakan kos pengeluaran mereka.
Katanya dengan adanya kawasan itu juga bakal melahirkan lebih banyak usahawan berjaya dalam bidang pertanian.
Katanya aktiviti tanaman sayur berpontensi tinggi berdasarkan nilai pengeluaran sayur yang direkodkan pada RM95.7 juta pada tahun 2013.
“Pengwujudan jelapang sayur penting sebagaimana yang disebutkan Baginda Sultan dalam titahnya. Kita juga perlu ucapkan syabas kepada pihak NCIA yang telahpun mengambil inisiatif mewujudkan industri penanaman sayur tanah rendah berskala komersil dan berteknologi di Kerian,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa membahas titah Tuanku pada Persidangan Dewan Undangan Negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan.
Menyentuh mengenai sektor ternakan, beliau berkata satu pilot projek lembu tenusu yang sistematik dan terbukti berjaya wajar diperkenalkan di negeri ini untuk dijadikan panduan dan contoh kepada penternak lain.
Menurut beliau pihak NCIA sedang menghidupkan kembali projek pembiakan kambing dan biri-biri dengan syarikat peneraju dan mewujudkan 25 usahawan ternak anak Perak.
“Sasaran projek ini secara keseluruhan bakal menyaksiakan sejumlah 30,000 ekor induk dihasilkan dengan sasaran pengeluaran 30,000 ekor kambing dan biri-biri untuk sembelihan.
“Ia juga dapat mengurangkan sebanyak 25 peratus kebergantungan kepada jumlah daging import negara pada ketika ini,” katanya.