top of page
muinsapidin

Tiada Halangan Jika Wakil Rakyat Pembangkang Mahu Sertai Pemukiman - MB

IPOH - Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, kerajaan negeri tidak mempunyai halangan jika ada wakil rakyat pembangkang yang mahu turut serta dalam pemukiman iaitu program turun padang di setiap daerah yang dilaksanakan kerajaan negeri.

Menjawab soalan tambahan Abu Bakar Hussain (Pas-Titi Serong) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Rabu, Dr Zambry berkata, program tersebut sememangnya bertujuan untuk mendekatkan rakyat dengan pemimpin.

“Komunikasi yang terbaik ialah apabila pemimpin turun mendekati rakyat bersama-sama rakyat tambah lagi Menteri Besar yang turun bersama dengan Exco-Exco mendalami masalah rakyat.

“Jadi selain daripada kitapun turun duitpun turun juga peruntukanpun turun kita akan kenalpasti segala permasalahan,’’ katanya.

Abu Bakar bertanya sama ada wakil rakyat pembangkang dipelawa untuk turut serta dalam Program Pemukiman yang dijalankan di daerah-daerah selepas ini.

Kepada soalan asal Datuk Tarmizi Idris [BN-Kenering), Zambry menjelaskan, pelaksanaan program pemukiman tidak bersifat ceremonial, sebaliknya mementingkan kehendak dan keperluan serta menangani masalah yang dihadapi rakyat.

Katanya, program pemukiman ini telahpun dirancang sejak tahun 2015 lagi dengan kajian penelitian dan pandangan pelbagai pihak.

“Kerajaan negeri mempunyai struktur penyelarasan sebelum semasa dan selepas program pemukiman diperingkat negeri dan daerah yang bukan sahaja merancang, menyelaras malah mengkaji kelemahan dan kekurangan untuk diperbaiki dari semasa ke semasa.

“Sebagai contoh selepas program pemukiman Hulu Perak semua aduan dan permohonan diselaraskan untuk diteliti dan diambil tindakan sewajarnya,’’ katanya.

Menurut beliau, satu kajian terhadap program ini juga telah dibentangkan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) bagi tujuan penambahbaikan pada masa akan datang dan kerajaan negeri amat komited terhadap setiap masalah yang dibangkitkan.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri akan meneruskan program pemukiman ini ke seluruh daerah di negeri Perak dan program pemukiman berikutnya adalah didaerah Kerian yang dijangka berlangsung pada 17 hingga 21 Mei.

Katanya, kerajaan negeri telah mensasarkan sebanyak lima program pemukiman dalam tahun 2016 dan program ini akan diteruskan pada masa akan datang.


24 views0 comments
bottom of page