top of page
muinsapidin

Minat Generasi Muda Dalam Aktiviti Pertanian Naik Mendadak

Usaha kerajaan untuk meremajakan pertubuhan peladang berjaya membuahkan hasil apabila terdapat penambahan mendadak penyertaan generasi muda dengan pertubuhan yang menjalankan aktiviti berasaskan industri agro dan makanan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian, Perladangan, Penerangan dan Pembangunan Modal Insan, Datuk Saarani Mohamad berkata sejumlah 17,589 belia direkodkan menyertai pertubuhan-pertubuhan peladang dalam tempoh dua tahun sejak 2014.

Katanya jumlah itu menunjukkan minat generasi muda terhadap sektor pertanian semakin meningkat dan selari dengan sasaran kerajaan pusat yang mahukan penyertaan 50 peratus anak muda dalam sektor itu menjelang 2020.

"Berdasarkan statistik ini, tidak keterlaluan untuk kita katakan bahawa usaha untuk meremajakan organisasi berasaskan pertanian berada pada landasan betul.

"Program ini bertujuan mengalakkan lagi penyertaan generasi muda supaya mereka dapat menjadi peneraju kemajuan sektor pertanian di masa hadapan.

Ini sekaligus dapat meningkatkan jati diri, kesukarelawan serta semangat cintakan negara di kalangan remaja," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan daripada Salbiah Mohamed (BN-Temengor) dalam Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri pada Rabu.

Mengulas lanjut, Saarani berkata, antara aktiviti yang telah dilaksanakan dalam meremajakan Pertubuhan Peladang adalah dengan menubuhkan Kelab Pertanian Sekolah yang memfokuskan kalangan pelajar-pelajar sekolah yang berpotensi menjadi usahawan dalam sektor pertanian di masa depan.

“Antara sekolah yang terlibat pada tahun 2014 ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Perak (Parit Buntar), SMK Alang Iskandar (Bagan Serai), SMK Sultan Abdul Aziz (Teluk Intan), SMK Temenggong Kati (Kuala Kangsar).

“Manakala untuk tahun 2016 ialah Kolej Vokasional Pertanian Teluk Intan dan SMK Batu 4 (Gerik),”ujarnya.

Selain itu, Saarani berkata, antara langkah lain yang diambil adalah dengan menubuhkan Kelab Kor Tani Peladang, My Agrosis dan Unit Agroprenuer Muda.


24 views0 comments
bottom of page