Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah mengeluarkan lesen perniagaan sementara bagi penduduk perumahan yang berhasrat berniaga di hadapan rumah sejak 1995.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Rusnah Kassim berkata lesen ini dikeluarkan atas tujuan mahu membantu penduduk meningkatkan pendapatan isu rumah terutama kalangan golongan wanita.
Katanya di peringkat permulaan pengeluaran lesen ini, pemohon lesen dikenakan bayaran RM 15 sebulan namun caj itu telah dimansuhkan atas arahan Kerajaan Negeri sejak beberapa tahun lalu atas keprihatinan kerajaan yang mahu membantu masyarakat berniaga kecil-kecilan.
"Misalnya sepanjang tahun lepas, sebanyak 85 peratus daripada 91 peratus permohonan telah diluluskan dan untuk tahun ini sehingga Mac 2016 sebanyak 21 daripada 25 permohonan telah diluluskan," kata Rusnah semasa menjawab lisan YB Datuk Dr Zabri Abd Wahid (BN-Trong).
Dalam pada itu Rusnah berkata walaupun didapati 95 peratus permohonan Lesen Perniagaan Sementara Di Hadapan Rumah diluluskan kepada wanita dan suri rumah, namun ianya turut dibuka kepada kaum lelaki.
"Kita mahu membantu wanita dan suri rumah untuk tambah pendapatan keluarga dengan membenarkan mereka berniaga di hadapan rumah, tetapi untuk makluman ianya tidak terhad kepada wanita sahaja bahkan dibuka kepada kaum lelaki dan orang kurang upaya," kata Rusnah.
Beliau turut menjelaskan ada permohonan lesen yang ditolak oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atas alasan terdapat syarat-syarat tertentu yang perlu dipatuhi sebelum lesen tersebut dikeluarkan kepada peniaga.
"Lesen ini sudah lama diwujudkan di MBI, Majlis Daerah Tanjung Malim (MDTM) dan Majlis Daerah Selama, setiap permohonan akan diteliti dahulu mengikut keadaan dan lokasi rumah pemohon.
Ia tidak akan diluluskan jika mengganggu lalu lintas atau ada aduan daripada jiran
Barang-barang yang diniagakan juga perlu menggunakan konsep 'takeaway' atau dibungkus,
bukannya masak di tepi jalan dan kebersihan juga merupakan aspek yang sangat dititikberatkan," kata Rusnah semasa menjawab soalan tambahan berkenaan permohonan lesen yang ditolak daripada ADUN yang sama.