Lembaga Air Perak (LAP) telah mengumpul sejumlah RM13,235,984 melalui Wang Sumbangan Modal sehingga 6 April 2016, kata Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air Datuk Zainol Fadzi Paharudin.
Beliau berkata wang itu mula dikutip sebaik peraturan-peraturan Industri Perkhidmatan Air 2014 telah mula dikuatkuasakan pada 1 Februari tahun lalu oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
“Sehingga 29 Mac 2016, LAP telah membelanjakan sejumlah RM990,300 untuk membiayai pembinaan Kolam Simpang Dua Sitiawan berkapaisiti 2.27 juta liter dan jumlah kos pembinaan tangki ini adalah berjumlah RM3.10 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan daripada Leong Cheok Keng (DAP-Malim Nawar) dalam Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri pada Rabu.
Katanya lagi, pihak LAP ketika ini sedang merancang untuk membelanjakan wang tersebut untuk melaksanakan beberapa lagi projek.
“Antara projek tersebut ialah pembinaan Kolam Ternaik Muatan 2.27 juta liter di Mukim Tupai dengan kos RM2.7 juta, di Permatang Raja Daerah Larut Matang Selama pula berjumlah RM3.9 juta.
“Jadi sehingga 11 April 2016, sejumlah RM9.07 akan dibelanjakan dari Wang Sumbangan Modal yang terkumpul,” katanya ketika menjawab soal bagaimana wang itu telah dan akan dibelanja.
Menjawab mengenai tujuan utama wang sumbangan modal itu, beliau memberitahu ianya bertujuan untuk membiayai infrastruktur sistem bekalan air di bahagian hulu seperti pembangunan perumahan dan industri.
“Dana yang terkumpul akan digunakan untuk melaksanakan pembangunan infra sistem bekalan air guna sama di bahagian hulu termasuk paip bekalan utama dan penyediaan kolam takungan pusat,” jelasnya.