Orang ramai yang tidak puas hati kerana dikompaun Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) meletakkan kereta di tepi jalan ketika hendak melawat pesakit di Hospital Raja Permaisuri Bainun boleh memohon supaya kompaun dikurang atau dimansuhkan.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Intergrasi Nasional, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata mereka yang berhasrat berbuat demikian bagaimanapun perlu mengemukakan bukti.
Katanya bukti yang perlu disertakan termasuklah butir-butir wad, pesakit yang dilawati, temujanji dengan doktor pada tarikh kompaun dikeluarkan.
“Pembuktian dokumen ini adalah bertujuan memastikan hanya pihak-pihak yang benar-benar berurusan dengan hospital sahaja diberikan pertimbangan,’’ katanya semasa menjawab soalan YB Ong Boon Piow (DAP-Tebing Tinggi) pada persidang Dewan Negeri di Bangunan Perak Drul Ridzuan, Ipoh pada Rabu.
Menurut beliau, MBI amat prihatin tentang kesukaran yang dihadapi oleh pesakit-pesakit dan pelawat yang berurusan di Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk mendapatkan parkir kereta walaupun kemudahan pakir yang disediakan di kawasan di kawasan Velodrome Rakyat dan tanah rizab berhadapan dengan klinik kesihatan Greentown tidak digunakan dengan sepenuhnya.
Dr. Mah juga berkata bahawa pihak polis sedar akan kekangan pakir lot di sekitar hospital namun mereka turut mengambil kira kepentingan pengguna jalan raya yang lain yang menghadapi masalah disebabkan parking berlapis (double parking) oleh pengunjung hospital tersebut.
Katanya, pihak polis bersedia mempertimbangkan pengurangan atau pembatalan kompaun mengikut kesesuaian.
“Kebiasaannya polis akan mengeluarkan saman apabila menerima aduan daripada orang ramai,’’ katanya.
Beliau juga memberitahu Dewan bahawa Blok Wanita, Kanak-Kanak dan Pusat Kardiologi baru Hospital Raja Permaisuri Bainun dijangka siap pada 2018.