top of page
muinsapidin

Jadikan penggantungan Aulong satu pengajaran  - Dr Zambry

Wakil rakyat pembangkang disaran menjadikan penggantungan ADUN Aulong Leow Thyoe Yih sebagai pengajaran supaya tidak sewenang-wenangnya membuat tuduhan liar terhadap ahli Dewan lain sepanjang persidangan berjalan.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata pembangkang perlulah bertanggungjawab dengan isu dibawa ke Dewan dengan memastikan fakta yang betul-betul kukuh sebelum bertindak melemparkan tuduhan.

Katanya wakil pembangkang perlu berhenti daripada amalan membuat tuduhan melulu tanpa sebarang asas menyokong dakwaan mereka.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media di luar Dewan Undangan Negeri pada hari kedua persidangan hari ini.

Menteri Besar menjawab soalan pemberita akan usul undi tidak percaya dan usul mencabar keputusan Speaker menggantung ADUN Aulong.

“Soal setuju atau tidak dari segi kandungan peruntukan (Buku Peraturan Dewan) itu lebih kepada interpretasi, saya lihat Speaker selaku ahli Jawantankuasa Hak dan Kebebasan mempunyai pengalaman baik dalam hal-hal berkaitan perjalanan dewan. Sudah tentu perkara ini sudahpun diteliti sebelum sesuatu perkara itu dibuat,” katanya.

Menurutnya hukuman terhadap Aulong bukan bertujuan mempertahankan Menteri Besar tetapi lebih kepada soal tingkah laku ADUN Aulong itu sendiri.

“Tuduhan yang dibuat begitu liar sifatnya dan kalau langkah-langkah tidak diambil untuk membendung perkara ini ianya akan menjadi sesuatu lebih serius. Ini boleh terjadi kepada sesiapa sahaja dan bukan saya seorang,” ujarnya.

Pada persidangan Dewan November lepas, Leow telah menuduh Menteri Besar Dr Zambry mengambil komisen daripada pihak pemaju yang sedang menjalankan projek pembangunan di suatu kawasan di Kuala Sepetang.

Menjawab satu soalan, Dr Zambry berkata pembangkang boleh meneruskan hasrat mereka untuk menyaman Speaker Datuk Seri S.K Devamany.

“Itu hak masing-masing, kita tak boleh halang mereka. Mereka juga tidak boleh tahan sekiranya saya nak saman (ADUN Aulong) lah, itu hak saya,” katanya.

Dr Zambry juga mempersoalkan kejujuran pihak pembangkang di dalam dewan yang menentang keputusan dibuat terhadap ADUN Aulong termasuk membawa usul undi tidak percaya terhadap speaker.

“Ianya nampak lebih kepada menyerang Speaker. Itu yang menjadi kekeliruaan, soalnya isu mana yang ingin dibawakan sebenarnya? Ianya seperti dicampur adukkan.

“Tapi saya lihat Speaker begitu professional mengendali perkara tersebut, berhujah dan memberi peluang kepada pihak lain juga berhujah dengan fakta” katanya.


18 views0 comments
bottom of page