top of page
muinsapidin

Harga rumah melambung lebih 100% perlu dibendung - ADUN Temenggor

Harga rumah di negara ini yang mengalami kenaikan lebih 100 peratus dalam tempoh empat tahun memerlukan perhatian serius daripada pihak kerajaan, kata ADUN Temenggor Salbiah Mohamed.

Menurutnya berdasarkan rekod data Perumahan Negara purata harga rumah di Malaysia telah meningkat sebanyak 109.6 peratus dari tahun 2000 hingga 2014

Katanya, kenaikan harga rumah yang dialami kini tidak selari dengan peningkatan kadar gaji di Malaysia yang hanya meningkat secara purata sebanyak 2.6 peratus setahun.

“Ketidakseimbangan dalam kenaikan harga rumah dan purata gaji menyebabkan rakyat khususnya golongan muda yang baru bekerja tidak berpeluang untuk memiliki rumah sendiri.

Ini kerana pendapatan yang diterima hanya sekadar cukup untuk membiayai kos sara hidup yang diburukkan lagi dengan faktor kenaikan harga barang.

Keadaan menjadi lebih rumit apabila peraturan untuk mendapatkan kemudahan pinjaman perumahan amat ketat walaupun melibatkan pembelian rumah pertama,’’ katanya.

Salbiah berkata, isu perumahan perlu menjadi keutamaan kerajaan negeri kerana ia juga merupakan isu utama yang membelenggu golongan muda di negeri ini.

Beliau memberikan contoh yang mana isu perumahan menjadi topik hangat yang mendominasi persidangan bakal pemimpin melibatkan golongan belia yang diadakan baru-baru ini.

Justeru, katanya, kerajaan negeri perlu mengkaji secara serius cadangan pemimpin belia ini yang mahukan projek rumah mampu milik khas disediakan buat mereka.

Kata beliau di bawah cadangan itu golongan belia telah mencadangkan penggunaan teknologi tinggi bagi perlaksanaan projek rumah mampu milik supaya ia dapat mengurangkan kos pembinaan.

“Ini sekaligus dapat memastikan harga rumah mampu milik yang ditawarkan lebih murah iaitu sekitar RM100,000 sehingga RM150,000. Sebagai mewakili suara Belia saya mengharapkan kerajaan negeri dapat memperhalusi cadangan ini,” katanya.

Salbiah menyeru kerajaan negeri mempercepatkan penubuhan Lembaga Perumahan dan Hartanah Negeri Perak kerana yakin ia dapat berperanan menangani isu perumahan rakyat di negeri ini.


7 views0 comments
bottom of page