top of page
muinsapidin

Pembangkang Gagal Kemuka Usul Tidak Percaya Gantung Speaker

IPOH - Usaha pembangkang untuk mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk S.K Devamany menemui kegagalan selepas ia ditolak setelah dibahaskan secara panjang lebar pada hari kedua Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Rabu. Usul itu dikemukakan Ketua Whip Pembangkang, Datuk Ngeh Koo Ham terhadapnya atas dakwaan penyalahgunaan kuasa atas tindakan menggantung ADUN Aulong Leong Thye Yih.

Bagaimanapun, usul itu ditolak selepas Devamany membenarkan dewan membahaskan usul itu kira-kira sejam sejurus selepas persidangan bermula pukul 10 pagi.

Ketika menolak usul tersebut, Devamany berkata penggantungan Leong oleh Jawatankuasa Hak dan Kebebasan yang dipengerusikannya dibuat mengikut prosedur sepertimana termaktub dalam Perintah Tetap 36 (5) dan 36(10).

Beliau menolak dakwaan Ngeh bahawa terdapat pelanggaran peraturan dalam keputusan tersebut kerana kes Aulong telah melalui empat kali perbicaraan sejak 3 Disember lepas.

Pada 8 April, Devamany dalam satu sidang media mengumumkan penggantungan Leow selama sebulan atas tuduhan berniat jahat ke atas ADUN lain semasa persidangan lepas.

Penggantungan selama sebulan itu dikatakan paling lama dalam sejarah DUN Perak.

Berikutan penggantungan itu, ADUN Aulong tidak dibenar menghadiri majlis-majlis rasmi kerajaan negeri selain tidak akan menerima bayaran gaji dan elaun-elaun bagi tempoh sebulan.

Dalam satu sidang akhbar di Bilik Media sebentar tadi, Devamany memperjelaskan segala proses yang melibatkan pelbagai urusan teknikal telah diikuti oleh jawatankuasa sebelum keputusan menggantung ADUN Aulong dibuat pada 31 Mac.

Katanya, tindakan menggantung ADUN Aulong dibuat atas sikap Aulong sendiri yang enggan hadir perbicaraan manakala keputusan menggantung bayaran elaun selama sebulan adalah kerana sikap degilnya yang memandang kes terhadap beliau sebagai langsung tidak serius.

“Sepanjang empat sesi perbicaraan telah dipanggil sebelum kita membuat keputusan pada 31 Mac lepas. Malah kami telah meminta bantuan ADUN Changkat Jering dan ADUN Tebing Tinggi untuk memujuk (ADUN Aulong) menghadirkan diri pada hari perbicaraan supaya tiada sebarang tindakan diambil oleh jawatankuasa tersebut.

“Setelah notis bertulis dikeluarkan dan tempoh masa untuk beliau respon diberikan namun dia masih berkeras tidak hadir. Akhirnya jawatankuasa memutuskan untuk menggantung beliau dari menyertai persidangan selama sebulan,”katanya lagi.

Beliau turut menegaskan Perintah Tetap 75 telah dipatuhi di mana keputusan sebulat suara satu jawatankuasa telah dicapai.

Sementara itu, Ngeh dalam sidang akhbarnya berkata pembangkang sebulat suara untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Speaker kerana kegagalan membatalkan keputusan penggantungan Leow.


16 views0 comments
bottom of page