Sekitar 58 peratus generasi muda berusia antara 31 dan 35 tahun di negara ini masih belum memiliki kediaman sendiri, berdasarkan satu kajian terbaru Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
ADUN Lubok Merbau, Salmah Mat Jusak berkata statistik yang dikeluarkan mencerminkan isu pemilikan rumah kalangan generasi muda adalah serius dan perlu ditangani segera.
Menurutnya, satu pelan komprensif perlu ada bagi membantu mereka kerana golongan muda merupakan golongan dominan di negara ini.
Kata beliau golongan ini seringkali merasa terbeban dengan kos harga rumah yang mahal dan proses pembelian hartanah atau rumah yang rumit serta melibatkan pelbagai proses birokrasi.
“Ada baiknya sekiranya kita boleh beralih kepada sistem konvensional di mana keseluruhan projek pembangunan itu dikendalikan sepenuhnya oleh satu agensi atau badan.
“Cara ini lebih menjimatkan kos berbanding kaedah hari ini di mana sebidang tanah itu diberikan kepada sebuah agensi yang kemudiannya menyaksikan transaksi tanah terpaksa melalui pelbagai peringkat.
“Tanah ini kemudiannya diserahkan kepada konntraktor dan barulah kepada pemaju. Kesemua transaksi ini melibatkan kos yang akhirnya menyebabkan kos pembinaan meningkat dan kos ini dipindahkan kepada pembeli.
“Justeru saya merayu kepada kerajaan negeri untuk mempertimbangkan menggunakan sistem lama semula,”katanya ketika membahas titah ucapan Tuanku Sultan pada hari kedua persidangan.
Menurutnya, kaedah pemindahan transaksi tanah dari satu pihak kepada satu pihak bagi tujuan perumahan perlu dihentikan kerana rakyat pada ketika ini terbeban dengan kos rumah yang tinggi.
“Mereka yang ingin membeli rumah ini kebanyakkannya adalah untuk dijadikan sebagai tempat berteduh dan bukan untuk tujuan pelaburan atau komersial,” katanya.
Justeru, adalah tidak relevan sekiranya kerajaan negeri tidak melakukan sesuatu untuk membendung kenaikan harga rumah yang merupakan keperluan asas rakyat di negara ini, katanya.
“Alangkah baiknya sekiranya perkara ini dapat di atasi dan kerenah birokrasi dalam proses pinjaman perumahan dapat dikurangkan bagi membuka lebih banyak ruang buat golongan orang muda untuk miliki kediaman sendiri,” katanya.