IPOH - Gunung Lang yang terletak di Kampung Kuak, Pengkalan Hulu bakal muncul sebagai destinasi tumpuan terbaru berikutan popularitinya sebagai kawasan kegiatan sukan para gliding.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Hulu, Aznel Ibrahim berkata, dengan keindahan alam semula jadi dan mempunyai ketinggian lebih dari 800 meter dari paras laut Gunung Laut berpotensi dimajukan sebagai destinasi eco pelancongan dan aktiviti sukan lasak.
Namun begitu, katanya, usaha untuk mempromosikan Gunung Lang sebagai destinasi eco-pelancongan mendapat halangan kerana kawasan ini terletak di bawah kategori hutan simpan yang tidak boleh dicerobohi.
“Hutan Simpan sepertimana kita sedia maklum tidak boleh diceroboh sesuka hati.
Oleh itu saya ingin mencadangkan agar kerajaan negeri menukar status kawasan Gunung Lang kepada tanah milik kerajaan sekaligus dapat membantu kawasan ini dipromosi sebagai pusat rekreasi dan pelancongan,’’ katanya.
Aznel berkata demikian ketika membahas Titah Tuanku pada hari kedua persidangan Dewan Negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Rabu.
Menurut beliau, Pengkalan Hulu memerlukan penambahbaikan daripada segi kualiti produk pelancongan supaya ia menjadi salah satu destinasi yang mesti dilawati.
Katanya perkhidmatan yang berkaitan sektor pelancongan juga perlu diperbaiki supaya pelancong mendapat kepuasan apabila berkunjung ke kawasan itu.
“Melalui penambahbaikan roduk dan perkhidmatan pelancongan ianya dapat meningkatkan kepuasan pengunjung serta menarik lebih ramai kemasukan pengunjung asing lebih-lebih lagi kedudukan Pengkalan Hulu ini yang bersempadan dengan negara Thailand,’’ katanya