IPOH - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, Dialog Pembangunan Antarabangsa Pangkor (PIDD) berjaya meletakkan negeri Perak sebagai salah satu platform persidangan bertaraf antarabangsa.
Titah baginda, PIDD yang dianjurkan Institut Darul Ridzuan (IDR) dengan kerjasama Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berjaya menarik penyertaaan tokoh-tokoh dalam pelbagai bidang, termasuk kapten industri dari dalam dan luar negara.
“Dialog tersebut yang telah mendapat sambutan akan terus dianjurkan,’’ titah baginda semasa merasmikan Istiadat Pembukaan Rasmi Penggal Keempat Dewan Negeri Yang Ketiga Belas Perak Darul Ridzuan di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Selasa.
Dalam pada itu, Sultan Nazrin bertitah, Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS) pula telah merintis inisiatif bersama-sama dengan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Islam dari Malaysia, Indonesia, Brunei dan Thailand menubuhkan Asian Islamic Universities Association (AIUA) untuk menyatupadukan pendidikan tinggi Islam di negara-negara Asia.
“Ia bertujuan untuk merangka satu piawaian pendidikan berpaksikan Al-Quran dan Hadith dan bermula dengan penyertaan lima belas (15) IPT Islam, inisiatif ini telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan keanggotaan 76 IPT Islam dari serata dunia,’ titah baginda.
Baginda bertitah, walaupun baru, KUISAS telah berjaya mencipta sejarah yang membanggakan apabila dianugerahkan Islamic Finance Talent Development Champion Award dalam kategori akademik oleh Islamic Banking and Finance Institute Malaysia
pada 9 April lalu.
Baginda turut menyentuh Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBU) yang telah banyak membantu meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat sehingga menerima beberapa pengiktirafan antarabangsa.
Titah baginda, sehingga tahun lalu, 3,855 orang usahawan kecil telah menerima pinjaman mikro kredit melibatkan RM27,304,743.
Baginda bertitah, YBU juga mengambil tanggungjawab membantu menyediakan perumahan selesa kepada golongan miskin melalui skim Infra Bina Upaya di samping memperkenalkan Kedai Bergerak 1 Amanjaya untuk membantu menangani kos sara hidup yang semakin meningkat.
“Kedai bergerak tersebut, menawarkan harga barangan asas, 10 peratus lebih murah berbanding harga biasa peruncit,’’ titah baginda.
Sultan Nazrin turut memuji Program Pemukiman Daerah yang mula diperkenalkan tahun ini, sebagai kesinambungan untuk memperkasakan Program Turun Padang dan Klinik Perkhidmatan yang dikendalikan secara langsung oleh Menteri Besar.
Titah baginda, program itu yang berorientasikan rakyat dilaksanakan bagi membolehkan Kerajaan memahami secara lebih mendalam serta dapat menyelesaikan masalah rakyat secara lebih efektif di peringkat akar umbi.