IPOH - Kerajaan negeri Perak berjaya menguruskan hasil dan perbelanjaan secara cekap, sehingga berjaya mencatat lebihan pendapatan RM7.59 juta berbanding anggaran belanjawan deficit RM50.06 juta semasa belanjawan 2015 dibentangkan.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, prestasi itu amatlah baik kerana kerajaan negeri berjaya mengekalkan rekod lebihan pendapatan selama enam tahun berturut-turut sejak tahun 2010.
Titah baginda, dalam tahun 2015, kerajaan negeri memperolehi keseluruhan hasil dan penerimaan pembangunan berjumlah RM1.273 bilion dengan RM956.932 juta adalah kutipan hasil manakala baki RM316.758 juta adalah penerimaan pembangunan.
Baginda bertitah, sepanjang tahun lalu juga, Perak membelanjakan RM1.266 bilion dengan RM952.847 juta adalah perbelanjaan mengurus manakala RM313.249 juta merupakan perbelanjaan pembangunan.
Titah Sultan Nazrin, selain hasil tanah yang merupakan sumber utama hasil negeri, usaha menambahkan hasil daripada sumber-sumber lain terus diikhtiarkan.
“Keupayaan meningkatkan hasil amat perlu diusahakan agar Kerajaan Beta memiliki
dana yang cukup untuk membiayai lebih banyak projek pembangunan,” titah baginda ketika merasmikan Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat, Sidang Dewan Undangan Negeri Perak ke – 13 pada Selasa.
Sultan Perak bertitah, kerajaan negeri sedar bahawa kebergantungan keterlaluan kepada sumber tertentu sahaja akan membatas keupayaan untuk meningkatkan hasil dan telah mengenalpaati sumber mineral untuk menjana hasil baru.
Titah baginda, kejayaan yang dicapai adalah melalui usaha dan komitmen secara kolektif semua jabatan dan agensi.
Baginda bertitah, Perak mencapai peratusan tertinggi bilangan jabatan di Semenanjung Malaysia yang mendapat penarafan pengiktirafan tertinggi empat bintang Indeks Akauntabiliti Pengurusan Kewangan, dalam Majlis Sambutan Hari Audit Sektor Awam tahun lalu.
Titah Sultan Nazrin, 13 jabatan dan agensi telah dianugerahkan pengiktirafan empat bintang pada tahun 2014, berbanding lapan pada tahun sebelumnya.
“Ini jelas menunjukkan komitmen Kerajaan Beta untuk meningkatkan kecekapan dan mengamalkan budaya pengurusan kewangan berhemah,” titah baginda.
Baginda bertitah, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri telah diberi pengiktirafan lima bintang dalam Indeks Bintang (Indeks SSR) Agensi Sektor Awam Tahun 2015-2016 oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Malaysia (MAMPU) yang diharap menjadi inspirasi untuk mencapai kejayaan yang lebih cemerlang.
“Usaha mengurus perbelanjaan secara berhemah berlandaskan prinsip ‘value for money’ dan ‘optimal spending’ akan dijadikan budaya dan identiti Kerajaan Beta,” titah Sultan Perak.