IPOH - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, Perak menjadi negeri contoh terbaik dari segi kemajmukan dan kepelbagaian yang mewarnai perpaduan kerana nikmat pembangunan yang dikecapi selama ini adalah hasil permuafakatan penduduk dari pelbagai kaum dan agama.
Namun demikian, titah baginda, kebelakangan ini rakyat dilanda dengan pelbagai isu dan cabaran yang semakin menggugat keutuhan perpaduan dan keharmonian masyarakat.
SULTAN Nazrin Shah diiringi Menteri Besar, Dato Seri Dr Zambry Abd. Kadir pada
majlis istiadat perasmian Sidang Dewan Undangan Negeri Perak pada Selasa.
Baginda bertitah, keamanan adalah prasyarat untuk mencapai kemakmuran dan akan terjejas sekiranya manusia memilih untuk bersengketa.
Lebih mendukacitakan, titah Sultan Nazrin, apabila persengketaan dicetuskan atas nama agama oleh kumpulan militan dengan menjanjikan sistem urus tadbir dunia yang lebih baik.
“Manusia perlu jelas memilih kaedah untuk mencapai matlamat. Firman Allah Subhanahu Wa Taala di dalam Surah An-Nahl ayat 125 bermaksud: “Serulah ke jalan Tuhan mu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan pengajaran yang baik.
“Dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhan mu, Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan Nya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk,” titah baginda semasa merasmikan Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat Dewan Negeri Yang Ketiga Belas Perak Darul Ridzuan di Bangunan Perak Drul Ridzuan, Ipoh pada Selasa.
Sultan Nazrin bertitah, melakukan keganasan dan kemusnahan harta benda dengan bertindak secara militan, membunuh, menyerang, menculik, merogol, mengebom hingga mengakibatkan terkorbannya insan-insan yang tidak berdosa, adalah sama sekali bercanggah dengan ajaran Islam.
Titah baginda, tindakan menangkap dan menahan mereka yang terlibat menyokong dan menyertai kegiatan militan seperti Islamic State hanyalah satu langkah yang belum menjamin masalah itu dapat diselesaikan.
Sehubungan itu, Sultan Nazrin bertitah, amatlah penting untuk dilaksanakan pendekatan yang lebih komprehensif dalam menangani dan membendung masalah yang kompleks itu yang melibatkan ideologi, fahaman dan tafsiran.
Baginda bertitah, faktor-faktor yang telah menjadi daya penarik atau penolak hingga berjaya mempengaruhi minda rakyat untuk menyertai pertubuhan sedemikian wajib dikenal pasti, difahami dan dianalisis.
“Faktor-faktor seperti harapan dan ilusi, kekecewaan, impian, kemiskinan, penderitaan, kezaliman dan penindasan dilaporkan antara faktor yang menjadi penyebab anak-anak muda terdorong untuk menyertai gerakan sedemikian,’’ titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah, rakyat juga harus bersama-sama dengan agensi keselamatan untuk memelihara ketenteraman awam dan menjamin keselamatan negara, .