IPOH - Pihak pembangkang negeri Perak mengemukakan usul tidak percaya kepada Speaker DUN Perak, Datuk Seri S.K Devamany di atas tindakan beliau yang menggantung ADUN Aulong dari DAP, Leow Thye Chih daripada menghadiri Persidangan DUN yang bermula Selasa.
Ketua Whip Pembangkang, Datuk Ngeh Koo Ham berkata, pihaknya mengambil keputusan tersebut berikutan tindakan Speaker itu yang diputuskan hanya di peringkat Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.
Sebaliknya, kata beliau, menurut Perintah Tetap 78 (2), sesebuah jawatankuasa pilihan perlu terlebih dahulu membawa apa-apa jua perkara yang difikirkannya patut kepada perhatian Dewan Negeri.
“Kami menggesa Datuk Seri S.K Devamany sebagai Speaker Dewan untuk menarik semula keputusan penggantungan ADUN Aulong daripada memasuki dewan sebelum kami mengambil tindakan undang-undang,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Bilik Media di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada petang Selasa.
Ngeh mendakwa Speaker DUN Perak tidak mempunyai kuasa untuk menghentikan bayaran elaun bulanan dan elaun berkaitan.
Dakwanya lagi, tindakan Speaker itu juga tidak menghormati kerahsiaan negara apabila melanggar Perintah Tetap 72 yang menyatakan adalah menjadi kewajipan Jawatankuasa untuk menimbangkan apa apa perkara sebelum mengeluarkan penyata itu kepada Dewan Negeri.
Di samping itu, kata Ngeh, Devamany juga tidak mengotakan janjinya untuk meletakkan jawatan Speaker sekiranya terpilih sebagai Timbalan Presiden MIC pada pemilihan parti itu tahun lalu.
“Sekarang ini, beliau masih lagi tidak mengotakan janji beliau yang telah dibuat di khalayak ramai dan kalau perkara ini berterusan kita di negeri Perak akan berasa malu,” ujarnya.
Sebelum ini, Leow digantung selama sebulan kerana tindakan wakil rakyat itu membuat tuduhan berniat jahat ke atas ADUN lain semasa persidangan lepas.
Pada persidangan lepas, beliau membuat tuduhan mendakwa Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengambil komisen daripada pemaju bagi hartanah di Taiping.
Beliau digantung mengikut Perintah Tetap 36 (3)(a) dan 36(3)(b) dan itu adalah yang paling lama dalam sejarah DUN Perak.
Sementara itu, Devamany memberitahu, keputusan menggantungkan ADUN Aulong itu tidak melanggar mana-mana perintah tetap seperti yang dikatakan oleh pihak pembangkang.