top of page

Malaysia Kukuh Untuk Hadapi Aliran Modal Besar-Besaran

IPOH: Malaysia berada pada kedudukan kukuh untuk berhadapan aliran modal besar-besaran berasaskan kemampuan penyesuaian ekonominya, penampan kewangan dan rangka kerja dasar yang mantap.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah aliran tunai dijangka mengalami turun naik berterusan, namun Bank Negara Malaysia akan memastikan mudah tunai domestik yang mencukupi dalam sistem kewangan agar pasaran kewangan berfungsi dengan teratur.

Titah baginda, asas ekonomi negara yang kukuh membolehkan Malaysia mendapat manfaat daripada program pembaharuan serta penyesuaian struktur yang dilaksanakan.

"Eksport negara yang pelbagai menyokong pertumbuhan. Sumber pertumbuhan yang pelbagai, kedudukan luaran yang baik serta sistem perbankan yang memiliki modal mencukupi dan pasaran modalnya berjaya dibangunkan dengan baik," titah baginda ketika merasmikan Mesyuarat Pertama,Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-13 di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Selasa.

Sultan Nazrin bertitah, perkembangan ekonomi dan kewangan global perlu dipantau serta dinilai secara teliti, terutama implikasi terhadap prospek pertumbuhan serta inflasi dalam negara.

Titah baginda, ekonomi Malaysia meningkat lima peratus pada 2015 dan diunjurkan mencatat pertumbuhan antara empat dan 4.5 peratus tahun ini.

"Permintaan domestik akan terus berperanan sebagai pemacu utama pertumbuhan,disokong khususnya oleh pihak swasta. Sektor luaran akan terus menyediakan sokongan kepada pertumbuhan," titah Sultan Nazrin.

Dalam konteks Perak, baginda bertitah, tahun lalu, pelaburan dalam sektor pembuatan yang diluluskan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di Perak mencecah RM3.9 bilion; pelaburan asing (RM3.4 bilion), manakala pelaburan tempatan (RM527 juta).

Sultan Nazrin bertitah, Perak merupakan negeri pertama menyediakan Pelan Induk Pembangunan Mineral bertujuan meningkatkan pembangunan aktiviti mineral, selain memastikan pembangunan dilaksanakan secara mampan, bertanggungjawab dan mesra alam.

Baginda mengambil contoh mengenai tanah liat Trong yang telahdieksport kepada pengeluar seramik terbesar dunia, sementara kaolin bermutu tinggi dieksport kepada industri kosmetik ternama di luar negara.


14 views0 comments
bottom of page