Antara aktiviti riadah yang kian menempa nama di kalangan masyarakat adalah sukan futsal yang kini menjadi pilihan pelbagai lapisan umur khususnya di negeri Perak. Sehubungan dengan itu, Jawatankuasa Futsal dan Bolasepak Pantai Persatuan Bola Sepak Perak ( PAFA ) telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan sebuah kursus awalan kejurulatihan futsal pada 22-24 April terbuka kepada semua peserta yang berminat.
Setiausahanya, Wan Fadzli Izam Wan Zulkifli berkata pihaknya mengambil langkah proaktif menganjurkan kursus ini untuk melahirkan dan melatih dan memberi pendedahan kepada peserta mengenai aspek-aspek menjadi seorang jurulatih futsal secara professional. “Objektif program ini adalah memberi pendedahan asas kejurulatihan futsal dan melahirkan jurulatih berkebolehan, berpengetahuan serta memberi peluang peserta dalam memberi sumbangan terhadap pembangunan sukan futsal tanah air. “Memandangkan asas mengenai pengadilan futsal masih lagi baru maka kami amat mengalakkan kesemua yang berminat untuk menyertainya, khususnya dari golongan persatuan dan kelab bolasepak peringkat daerah,"katanya kepada Suara Perak. Beliau yang juga merangkap Penolong Pengurus Pasukan Futsal Lelaki dan Wanita Perak berkata pihaknya mensasarkan 30 jurulatih futsal serba berkemahiran menjelang 2017 memandangkan hanya terdapat kurang dari 10 orang di Tahap Pertama Kejurulatihan Futsal hingga hari ini. "Insya Allah kami akan menganjurkan liga futsal Perak antara daerah pada penghujung tahun ini dan kursus awalan ini adalah sebahagian daripada persiapan menuju ke pertandingan tersebut. Penolong Setiausaha Jawatankuasa Futsal dan Bolasepak Pantai Persatuan Bola Sepak Perak ( PAFA ), Nor Afzainizam Salleh berkata ianya dipengerusikan oleh Datuk Muhammad Yadzan Mohamad, dan terbuka kepada semua yang berumur 18 tahun dan ke atas. "Setiap peserta dikenakan bayaran RM150 (seorang) termasuk makan dan T-shirt dan penyertaan adalah terhad kepada maksimum 2 orang dari setiap persatuan bola sepak daerah sahaja. "Kursus akan dikendalikan oleh jurulatih terkemuka FAM, Chiew Chun Yong dan ini merupakan peluang keemasan buat kesemua yang menantikan kursus sebegini,"ujarnya. Katanya,25 peserta awalan terbaik akan ditawarkan ke kursus Tahap 1 yang akan diadakan selepas Raya kelak. "Justeru, ini adalah permulaan dan asas terbaik kerana Tahap 1 adalah lesen bagi jurulatih futsal dalam Liga Futsal Kebangsaan,"katanya lagi.