IPOH – PERKASA Perak memberi amaran kepada Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, Prof Dr P. Ramasamy supaya jangan mencurah minyak berkenaan perkara sensitif yang melibatkan agama Islam.
Exco Wira Perkasa Malaysia, Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh berkata, tindakan Ramasamy yang mengeluarkan kata-kata kesat kepada Dr Zakir Naik adalah merupakan suatu provokasi terhadap Tokoh Maal Hijrah 2013 itu
Menurut beliau, pihaknya turut mengecam kenyataan Pengerusi HINDRAF, P. Waytha Moorthy terhadap pendakwah terkenal itu.
“Menurut Perlembagaan Persekutuan Perkara 3 (1), agama Islam adalah agama rasmi Malaysia, justeru kami meminta semua pihak terlibat, termasuk individu dan parti politik untuk menghormatinya dan jangan cuba mengganggu gugat umat Islam di negara ini,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh pada petang Selasa.
Mubin berkata, pihaknya tidak pernah sama sekali mencabuli urusan mahupun apa-apa hal berkaitan dengan agama lain, maka adalah wajar untuk mereka melakukan perkara yang sama.
“Jangan cari pasal dengan umat Islam,” tegasnya sambil menambah pihaknya menyokong penuh siri ceramah agama Dr Zakir yang selama ini memberikan pandangan mengenai agama dengan cara berhemah.
Sementara itu, Ketua Wira Perkasa Negeri Perak, Nor Afzainizam Salleh berkata tindakan tegas perlu dilakukan setimpal dengan jawatannya sebagai seorang ahli politik.
“Kami meminta agar pihak berkuasa melakukan hukuman setimpal terhadap Prof Dr Ramasamy kerana tindakan beliau itu agak keterlaluan,” katanya.