IPOH : Filem pecah panggung, Ola Bola yang ditayangkan di seluruh negara menarik perhatian Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada Selasa.
Titah baginda, penganjur dan dan mereka yang bergiat aktif dalam aktiviti sukan begitu juga rakyat keseluruhannya sewajarnya mengambil pengajaran daripada filem tersebut.
"Jadikan sumber inspirasi, jalan cerita yang terkandung dalam filem Ola Bola, betapa semangat pengorbanan, semangat berpasukan, semangat setia kawan dan semangat kenegaraan yang tinggi, berjaya disemai melalui sukan," titah baginda ketika merasmikan Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat, Sidang Dewan Undangan Negeri Perak ke -13 pada Selasa.
Baginda bertitah, sukan dapat menyemaikan budaya hidup sihat, semangat persaingan,
semangat mahu mencipta kejayaan lebih tinggi, semangat tidak riak di kalangan yang menang dan semangat tidak kecewa di kalangan yang tewas.
Titah baginda lagi, sukan adalah platform yang berupaya memupuk semangat persefahaman, semangat berpasukan dan semangat bekerjasama.
Oleh itu, baginda bertitah, badan-badan sukan, diberikan pelbagai bantuan dan kemudahan, dan penganjuran acara-acara sukan senantiasa diberikan dorongan dan sokongan.
Filem terbitan Astro Shaw arahan Chiu Keng Guan, Ola Bola mengisahkan kegemilangan pasukan bola sepak kebangsaan yang berjaya memasuki Sukan Olimpik Moscow pada 1980.
Sebelum itu, baginda berkenan memeriksa Perbarisan Kehormat di perkarangan Bangunan Perak Darul Ridzuan sebagai permulaan istiadat perasmian sidang DUN Perak.