IPOH – Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man melawat tapak projek 3D Installation Art di lorong belakang Jalan Bijih Timah bersebelahan People's Park pada Selasa.
Projek di bawah Local Agenda 21 (Pelan Tindakan Kerja Pembangunan Lestari dan Selamat), Pelancongan dan NBOS bernilai RM45 ribu itu dijalankan secara kerjasama antara MBI, UiTM Cawangan Perak, Tourism Perak Management Berhad dan Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC).
People's Park dipilih sebagai lokasi program itu adalah kerana ianya terletak bersebelahan dengan jalan utama di Persisiran Sungai Kinta.
Justeru itu, program tersebut dilihat selaras dengan Projek Kinta River Walk yang merupakan satu pembangunan baru dalam usaha menghidupkan semula Sungai Kinta dan People's Park oleh MBI.
Selain daripada itu, ia juga dapat memberi nilai tambah kepada persekitaran, komuniti dan ekonomi setempat.
Perancangan projek yang bermula dengan Mesyuarat Induk LA21 pada 19 Januari 2016 ini dijangka siap sepenuhnya pada 30 April 2016.
Zamri yakin, dengan siapnya projek itu kelak, People's Park akan kembali menjadi tumpuan ramai di samping akan mewujudkan keceriaan kepada para pengunjung.