IPOH - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Aulong dari DAP, Leow Thye Yih diminta meninggalkan Istiadat Perbarisan Persidangan Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat DUN Perak Ke-13 yang disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah pada pagi Selasa.
Sebelum ini, Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Perak menggantung Leow selama sebulan daripada menghadiri Persidangan DUN berkuat kuasa 1 April lalu kerana tindakannya membuat tuduhan jahat terhadap wakil rakyat lain semasa persidangan lalu.
Penggantungan selama sebulan mengikut Perintah Tetap 36(3)(a) dan 36(3)(b) itu adalah yang paling lama dalam sejarah DUN Perak.
Jawatankuasa itu turut memutuskan ADUN Aulong tidak dibenar menghadiri majlis-majlis rasmi kerajaan negeri selain tidak akan menerima bayaran gaji dan elaun-elaun berkaitan.
Tindakan ke atas Leow itu berkaitan tuduhannya yang mendakwa Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengambil komisen daripada pemaju bagi projek hartanah di Taiping.