MANJUNG - Seramai 22 warganegara Filipina dipenjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret Seri Manjung pada Selasa selepas mengaku salah atas tuduhan menggunakan MyKad palsu dan kepunyaan orang lain awal bulan ini.
Kesemua mereka terdiri daripada 21 lelaki dan seorang wanita, berumur antara 21 dan 45 tahun telah diarah menjalani hukuman bermula dari tarikh mereka ditangkap1 April lalu.
Majistret Nur Shaqira Ibrahim menjatuhkan hukuman tersebut setelah kesemua mereka yang merupakan buruh binaan di kawasan industri di sini mengaku bersalah setelah memahami pertuduhan yang dibacakan kepada mereka dalam bahasa Melayu.
Kesemua mereka yang berbangsa Suluk fasih bertutur Bahasa Melayu dalam dialek Sabah dan mengakui memahami pertuduhan tersebut.
Menurut pertuduhan, 15 tertuduh didakwa tanpa kuasa yang sah telah menggunakan kad pengenalan palsu sebagai pengenalan diri manakala tujuh yang lain menggunakan kad pengenalan milik orang lain.
Berdasarkan fakta kes, semua mereka ditangkap dalam operasi bersepadu antara Jabatan Imigresen Perak dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya di sekitar Taman Perindustrian IKS, Kampung Acheh 2, Lumut sekitar 6.30 pagi, 31 Mac lepas.
Pendakwaan dikendalikan Ketua Unit Pendakwaan Jabatan Pendaftaran Negara Putrajaya, Pegawai Pendakwa Mohd Fazdlhy Abdul Razak manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.
Mohd Fazdhly dalam penghujahan memohon mahkamah agar mengenakan hukuman setimpal kepada semua tertuduh kerana tindakan mereka masuk ke negara ini boleh dianggap sebagai menghina negara.
Pendakwaan terhadap semua tertuduh dilakukan di bawah Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) yang boleh dihukum mengikut peraturan sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.