top of page
muinsapidin

Yuran KUISAS Antara Paling Murah Di Malaysia – Rektor

KUALA KANGSAR - Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS) tidak pernah mengenakan yuran pengajian tinggi kepada pelajarnya sebagaimana dakwaan segelintir pihak.

Rektornya Tan Sri Dr Nordin Kadri berkata, yuran yang dikenakan pengajian tidak melebihi RM40,000 dan ia mematuhi peraturan ditetapkan Kementerian Pendidikan Tinggi supaya yuran semua kolej universiti mestilah tidak melebihi RM48,000.

Beliau menjelaskan yuran bagi pelajar diploma di KUISAS adalah antara RM14,720 dan RM16,490, ijazah sarjana muda (RM23,400), sarjana (RM15,700), manakala ijazah doktor falsafah RM12,000. "Mereka sengaja mengadakan isu ini untuk mencalarkan imej KUISAS sebagai sebuah kolej universiti yang mengenakan yuran pengajian paling murah berbanding beberapa kolej universiti lain di negara ini," katanya dalam sidang media di sini pada Isnin. Beliau mengulas kenyataan Parti Amanah Negara (PAN) negeri Perak baru-baru ini yang mendakwa yuran pengajian bagi Program Ijazah Sarjana Muda Syariah Gunaan di KUISAS adalah antara termahal dan membebankan pelajar. Timbalan Ketua Pemuda PAN Mohd Fitri Asmuni berkata, yuran pengajian berjumlah RM48,340 bagi program tersebut termahal berbanding dengan kolej universiti Islam lain di negara ini. Mengenai tuduhan bahawa KUISAS menanggung hutang mencecah RM1 juta, Dr Nordin berkata ia tidak benar sama sekali, sebaliknya kolej itu mempunyai rizab sebanyak RM3.9 juta. Menurut beliau, KUISAS sentiasa mengamalkan sikap berjimat cermat dan hanya membelanjakan wang untuk program akademik selain mempertingkat kemudahan, khusus buat pelajar. Beliau memberi contoh, sebagai sebuah kolej yang prihatin terhadap pelajar, KUISAS memperkenalkan Skim Kasih Sayang yang menetapkan pelajar miskin hanya dikenakan bayaran RM10 untuk makan tiga kali sehari di kafeteria kolej.


478 views0 comments
bottom of page