top of page
muinsapidin

Warga Iran Terlepas Hukuman Gantung

PUTRAJAYA - Dua lelaki warga Iran yang sebelum ini dihukum gantung sampai mati kerana mengedar dadah, hari ini tersenyum gembira selepas Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun kerana memiliki dadah.

Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria yang mengetuai panel lima hakim itu, menggantikan pertuduhan mengedar dadah mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kepada memiliki dadah di bawah Seksyen 12(2) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sekurang-kurang 10 kali sebatan.

Hakim Arifin menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun dan 10 sebatan terhadap

Ali Jalayeridarbandi Mousa, 31, dan Vahid Aliakbaradeghabadi Abbas, 33, selepas membenarkan rayuan mereka terhadap hukuman gantung itu.

Pada 3 September 2014 Mahkamah Rayuan menolak rayuan mereka terhadap hukuman gantung yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas mendapati mereka bersalah mengedar dadah itu.

Hakim Arifin memerintahkan hukuman itu bermula dari tarikh mereka ditangkap pada 12 Disember 2010.

Empat hakim lain ialah Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md Raus Sharif; Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zaharah Ibrahim dan Datuk Balia Yusof Wahi.

Selepas mendengar keputusan itu kedua-dua lelaki tersebut yang berada di dalam kandang tertuduh tersenyum gembira. Kelihatan anggota keluarga mereka yang hadir di mahkamah turut mengesat air mata kegembiraan.

Ali didakwa memiliki 203.9 gram methamphetamine manakala Vahid didakwa memiliki 269.6 gram dadah sama, di Cawangan Pemeriksaan Penumpang, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, pada 3.45 petang, 12 Disember 2010.

Mengikut keterangan kes, dadah itu masing-masing dijumpai di dalam stokin kaki yang dipakai Ali, jurujual di syarikat pengeluar kasut dan Vahid, pekerja di syarikat pengeluar perabot, yang datang ke Malaysia untuk bercuti.

Semasa pembelaan, mereka masing-masing berkata dadah itu adalah untuk kegunaan sendiri bagi menambah tenaga dan mereka menyatakan mereka mengambil dadah sisha sejak empat tahun sebelum mereka ditangkap di KLIA.

Mereka menyatakan memiliki dadah sisha di Iran pada masa itu (2010) adalah tidak salah dan mereka menyorokkan dadah itu ke dalam stokin kerana mereka tahu memiliki dadah di Malaysia adalah satu kesalahan.

Kedua-dua perayu diwakili peguam Datuk N. Sivananthan dan Hisyam Teh Poh Teik manakala pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa Raya Aslinda Ahad. - Bernama


23 views0 comments
bottom of page