IPOH - Seorang pengarah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Isnin atas dua pertuduhan melibatkan pecah amanah berjumlah RM1.03 juta, pada 2010 dan 2012.
Lim Choong Yik, 61, didakwa melakukan pecah amanah dengan melepaskan hartanah di Mukim Hulu Kinta dengan memasuki perjanjian jual beli syarikat lain dengan harga RM568,800 yang bertentangan dengan suatu kontrak yang sah di sisi undang-undang.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di syarikatnya di Bandar Baru, Medan Ipoh pada 25 Mei 2010.
Dia juga turut didakwa melakukan kesalahan sama dengan melepaskan sekeping tanah lain di Mukim Hulu Kinta dengan memasuki perjanjian jual beli dengan syarikat sama dengan harga RM468,800 di lokasi sama pada 9 Julai 2012.
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan hukuman denda.
Timbalan Pendakwa Raya, Fadhli Ab Wahab tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh yang diwakili peguam, T. Ellanggovan dan S. Dharmanathan.
Hakim Ikmal Hishan Mohd Tajuddin membenarkan Choong Yik diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 11 Mei ini untuk sebutan semula kes.