BUKIT MERAH - Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kerian menjangka paras air Kolam Takungan Bukit Merah hanya mampu bertahan selama seminggu jika keadaan cuaca panas berterusan tanpa hujan.
Juruteranya, Ir Hasmi Mat berkata, keadaan paras air kolam terbabit kini dikategorikan sebagai Paras Kritikal Tahap 1, di mana kadar kedalaman air kolam semasa adalah 22.4 kaki padu.
Keadaan air kolam Bukit Merah yang semakin surut dan membimbangkan.
Menurutnya, sekiranya paras air kolam jatuh pada tahap 20 kaki padu ke bawah, JPS terpaksa memutuskan untuk menghentikan bekalan pengairan padi bagi aktiviti pertanian berikutan mencapai tahap bahaya.
Hasmi berkata, JPS Kerian sudah melaksanakan catuan air bagi aktiviti pertanian pada 25 Februari lalu.
“Namun, kami tidak menolak kemungkinan bekalan pengairan bagi tujuan pertanian di daerah ini akan dihentikan serta-merta sekiranya keadaan cuaca berterusan panas tanpa hujan dan hanya membekalkan sumber bekalan air kepada Lembaga Air Perak (LAP),” katanya, di sini.
Katanya, senario bekalan air meruncing ini menyebabkan pihaknya melalui IADA Kerian memohon Jabatan Meteorologi Malaysia melaksanakan pembenihan awan di daerah ini bagi mendapatkan hujan dengan kadar segera. - Sinar Harian