top of page
muinsapidin

PAFA Tolak Perletakan Jawatan Shahrul

IPOH – Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) menolak hasrat Datuk Shahrul Zaman Yahya untuk melepaskan jawatan Pengurus pasukan Liga Super Perak.

Presiden PAFA, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan berkata, sehingga kini, Shahrul masih kekal sebagai Pengurus The Bos Gaurus.

Menurut beliau, buat masa ini, pihak Pengurusan PAFA sedang menumpukan sepenuh perhatian terhadap persiapan pasukan bagi menghadapi pasukan PKNS di dalam saingan separuh akhir Piala FA.

“Pada masa yang sama, PAFA juga menumpukan terhadap usaha-usaha penambahbaikan prestasi The Bos Gaurus dalam menghadapi saingan Liga Super seterusnya,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini pada Isnin.

Abdul Puhat berkata, pihak Pengurusan PAFA akan memaklumkan sebarang keputusan yang akan diambil berhubung perkara itu kepada pihak media secara rasmi selepas selesai kempen Piala FA dan pusingan pertama Liga Super.

Sebelum ini, Shahrul mengumumkan perletakan jawatan sebagai Pengurus The Bos Gaurus ekoran prestasi hambar di dalam saingan Liga Super, termasuk kekalahan 3 – 4 di tangan Pahang pada perlawanan di Stadium Perak minggu lalu.

Dengan kekalahan itu, The Bos Gaurus yang mengutip 4 mata selepas 7 perlawanan berada di tangga ke 11, berkongsi mata dengan Pahang yang berada di kedudukan terbawah liga.


30 views0 comments
bottom of page