top of page
muinsapidin

Agihan Keuntungan Ladang Rakyat : Enam Ketua Kampung Buat Laporan Polis

BOTA - Enam Ketua Kampung di Mukim Lambor bertindak membuat laporan polis bagi mencari jalan penyelesaian berhubung isu pengagihan keuntungan ladang rakyat di kawasan mereka.

Menurut Ketua Kampung Baru, Lambor Kiri, Megat Harun Megat Yussof, pihaknya merayu agar Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) yang memajukan tanah pertanian di kawasan Mukim lambor seluas 2,000 hektar itu supaya tidak mengagihkan keuntungan kepada orang tertentu sahaja.

Beliau mendakwa, perkara itu mendatangkan pelbagai kesan memandangkan sebelum ini jumlah penerima kira-kira 300 orang melibatkan enam buah kampung, iaitu Kampung Baru, Kampung Telok Sena, Kampung Pulau, Kampung Lambor Kiri, Kampung Bakong dan Kampung Kuchai menerima agihan saham ladang rakyat.

Bagaimanapun, kata beliau, jumlah itu semakin berkurangan sehingga hanya tinggal 23 orang ketika ini.

“Tanah yang diusahakan oleh PPPNP ini terletak di kawasan perkampungan kami,’’ katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Balai Polis Titi Gantung, dekat sini pada Isnin.

Menurut Megat Harun, isu tanah berkenaan bermula sekitar tahun 1987 sehingga PPPNP mengambil alih dan memberikan agihan saham ladang rakyat kepada penduduk.

Beliau mendakwa, sejak dua tahun kebelakangan ini, jumlah penerima saham ladang rakyat semakin dikecilkan jumlahnya sehinggalah tahun ini hanya seramai 23 orang.

Megat Harun berkata, perkara itu menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan penduduk kerana sebelum ini ramai yang menerima agihan keuntungan ladang rakyat tersebut..

“Boleh dikatakan setiap kampung hanya seorang, tiga orang dan empat orang sahaja yang terpilih berbanding sebelum ini seramai 40 orang,’’ katanya sambil menambah, ekoran dari itu, Ketua Kampung menjadi sasaran kemarahan penduduk yang tidak terpilih.

Menurutnya, Ketua Kampung dituduh mengeluarkan nama penduduk daripada senarai penerima sedangkan perkara itu di bawah tanggungjawab PPPNP.

``Kami sendiri tidak tahu menahu mengenai perkara itu, pada masa kini penerima saham ladang rakyat hanya mereka yang tersenarai dalam E-Kasih sahaja,’’ katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap supaya pihak berkenaan tampil memberi penjelasan bagi menyelesaikan masalah berkenaan.

“Kami membuat laporan polis bukanlah untuk mencari masalah tetapi mahukan penjelasan berkenaan permasalahan ini,’’ katanya.

Sementara itu Ketua Kampung Telok Sena, Hasni Ani berkata, pihaknya tidak bermaksud untuk mengeruhkan keadaan tetapi cuba untuk menyelesaikan masalah.

``Tanah berkenaan pula terletak di kawasan perkampungan kami, jadi tidak salah sekiranya penduduk mendapat sedikit habuan dan kami sangat berharap agar dapat berjumpa Menteri Besar supaya tidak timbul lagi tanggapan negatif berkenaan permasalahan ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Modal Insan, Datuk Saarani Mohamad berkata, beliau belum melihat laporan penuh mengenai perkara tersebut.

Bagaimanapun, beliau memberi jaminan akan menyiasat perkara itu bagi mengetahui punca sebenar permasalahan yang timbul.


32 views0 comments
bottom of page