BAYAN LEPAS - Seramai 218 penunggang dan pembonceng motosikal termasuk 44 pelajar ditahan dalam Ops Samseng Jalanan awal pagi kelmarin.
Pemangku Ketua Polis Daerah Barat Daya, Deputi Superintendan Siti Norsalawati Saad berkata, operasi bermula jam 3 pagi itu dijalankan di Bulatan Bayan Baru menghala ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu.
Kesemua yang ditahan dalam Ops Samseng Jalanan di bawa ke Balai Polis Bayan Baru untuk siasatan lanjut.
Menurutnya, operasi selama tiga jam itu juga berjaya menahan 76 remaja bawah umur.
“Semua penunggang dan pembonceng berusia antara 15 hingga 27 tahun ditahan kerana menunggang dalam keadaan berbahaya dan melulu, tiada lesen memandu sah, tiada cukai jalan serta mengubah suai motosikal tanpa kebenaran.
“Pemeriksaan mendapati 76 pesalah adalah remaja berusia bawah 18 tahun, termasuk 44 yang mengaku masih bersekolah. Kita hubungi ibu bapa mereka untuk memaklumkan kejadian itu,” katanya.
Beliau berkata, mereka dibawa ke Balai Polis Bayan Baru untuk tindakan lanjut.
Sebanyak 89 saman dan15 waran tangkap dikeluarkan selain 41 motosikal disita.
“Kita juga merekodkan 43 kesalahan menunggang motosikal tanpa lesen memandu yang sah,” katanya.