top of page
muinsapidin

Malaysia Sedia Bekerjasama Dengan Interpol

BAGAN DATOH - Malaysia sedia bekerjasama dengan Interpol dan Homeland Security of China jika benar dakwaan pihak berkuasa Thailand bahawa dua suspek Turki berketurunan Uighur yang disyaki merancang melakukan serangan dilaporkan meninggalkan Thailand untuk ke Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Malaysia telah mendapat maklumat daripada kedua-dua badan keselamatan itu mengenai maklumat yang disampaikan oleh pihak berkuasa Thailand.

Menurut beliau, walaupun terdapat dua suspek atau mungkin lebih, kerajaan Malaysia sentiasa melakukan pemantauan melalui maklumat-maklumat yang diberikan oleh polis antarabangsa, Interpol atau polis rantau Asean (Aseanapol).

Beliau berkata, kerajaan Malaysia sedang bekerjasama rapat dengan kerajaan negara China untuk menghantar semula kedua-dua suspek terbabit ke negara itu.

``Jadi kita sedang memantau perkembangan itu kerana kita mempunyai sistem pemantauan berdasarkan maklumat-maklumat yang diberikan oleh Interpol dan Aseanapol,’’ katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Kembara Kebajikan 1MALAYSIA 2016 di Dewan Serbaguna Hutan Melintang, dekat sini pada Ahad.

Hadir sama Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Beliau diminta mengulas laporan berhubung dua rakyat Turki berketurunan Uighur yang disyaki merancang melakukan serangan di Thailand, dilaporkan meninggalkan negara berkenaan untuk ke Malaysia.

Gabenor Surat Thani, Wongsiri Promchana berkata, beliau dimaklumkan dua lelaki berkenaan menuju ke Malaysia baru-baru ini oleh pejabat Imigresen Phuket.

Wongsiri bagaimanapun tidak menyatakan tarikh kedua-dua lelaki itu ke Malaysia atau sama ada mereka menggunakan laluan darat atau udara.


6 views0 comments
bottom of page