KOTA BHARU - Kerajaan Pas Kelantan digesa menghentikan pembalakan tidak terkawal di negeri ini bagi memberi peluang khazanah alam tersebut berbaki kepada generasi akan datang.
Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Negeri, Datuk Md Alwi Che Ahmad berkata, cadangan tersebut pernah disuarakan beliau selaku Adun Kok Lanas ketika persidangan Dun sebelum ini.
“Kita perlu hentikan pembalakan ini. Macam Sarawak buat. Untuk apa lagi tebang pokok, balak besar mana lagi nak tebang.
Alwi cuba memandu jentera menuai padi di Ladang Merdeka Jabil di sini.
“Kehilangan hasil itu nanti kita boleh bincangkan kemudian. Kita carilah kaedah lain, takkan balak sahaja, balak ini sumber asli, bila kita tebang, ambil masa lebih 50 tahun untuk tumbuh balik. Kalau program penanaman semual dibuat pun belum tentu lagi berjaya, ada el-nino dan macam-macam,”katanya kepada media di sini.
Beliau diminta mengulas mengenai cadangan Persatuan Usahawan Perkayuan Kelantan yang meminta kerajaan negeri menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi membincangkan cara penyelesaian konflik antara mereka dan orang Asli di sini.
Menurutnya, Kelantan tidak mempunyai kawasan yang luas, dan hampir 300,000 daripada 600,000 hektar kawasan sudah ditebang.
Beliau juga berkata, jika BN berjaya menguasai Kelantan selepas ini, isu balak ini juga akan turut dikaji semula bagi memastikan khazanah alam itu tidak dicemari dengan kegiatan yang tidak bermanfaat kepada rakyat.