top of page
muinsapidin

Iklan Pesta Liar Cetus Kebimbangan

LANGKAWI - Pihak berkuasa diminta bertindak terhadap penganjur dua pesta liar yang bakal diadakan di pulau itu pada 13 serta 14 April ini yang semakin giat dipromosikan di laman sosial.

Dua pesta itu yang bertemakan 'wild and wet' ditaja oleh sebuah syarikat minuman keras dikhuatiri boleh mencemarkan budaya serta masyarakat di pulau lagenda itu.

Kebimbangan itu disuarakan Pertubuhan Sukarelawan Sosial dan Dakwah Langkawi (Landas) yang mahu perkara itu diberi perhatian oleh kerajaan negeri dengan mengekang penganjuran program seumpama.

Pengerusinya, Mohd Ali Abdullah berkata, setelah beberapa hari poster berkenaan viral di laman sosial, pihaknya segera bangkitkan perkara ini supaya program berkenaan dapat dihentikan kerana disifatkan kurang sesuai diadakan di perkampungan masyarakat Melayu.

“Kita tidak mahu acara seumpama yang bukan budaya kita cemari pulau ini. Ia dibimbangi memberi pengaruh negatif kepada anak muda tempatan terutama apabila melibatkan hidangan minuman keras dan arak,” katanya.

Pada masa sama, Landas mohon pertimbangan kerajaan agar menarik balik status bebas cukai minuman keras di Langkawi kerana tidak memberi manfaat kepada masyarakat setempat dan umat Islam.

“Minuman terbabit boleh didapati dengan mudah dan murah. Berdasarkan maklum balas pelancong dari Australia, New Zealand dan Singapura, harga minuman keras lebih murah di Langkawi berbanding negara lain, ini amat memalukan,” katanya.

Mohd Ali berkata, pihaknya turut kesal apabila penjualan minuman keras tidak dipantau seperti mengehadkan kepada pembeli bukan Islam atau bukan bawah umur, sebaliknya dijual sewenangnya.

“Kedai menjual minuman ini berlambak terutama di pekan Kuah di mana jumlahnya melebihi 10 premis.

"Kenapa perkara ini boleh berlaku? Harap dapat kurangkan premis atau tidak lagi membenarkan pembukaan kedai baru,” katanya.

Menurutnya, pihaknya berharap pandangan anak Langkawi diberi perhatian dalam isu berkenaan kerana masalah yang dibangkitkan ini telah disuarakan kepada Pejabat Agama Daerah Langkawi dan mendapat respons positif.


19 views0 comments
bottom of page