BAGAN DATOH - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menganggap tindakan Tun Dr Mahathir Mohamed meminta campurtangan negara asing untuk menumbangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai bertentangan dengan prinsip yang pernah diterapkan oleh mantan Perdana Menteri itu.
Menurut Zahid, dahulu, pengikut-pengikut setia Dr Mahathir telah diajar untuk patuh, akur dan mengikuti semua tata etika kepimpinan yang baik.
``Janganlah hendaknya beliau mengubah pendirian dengan mengajar kami untuk melakukan yang sebaliknya.
``Tolonglah jangan melakukan sesuatu pada hemat saya yang akhirnya jika dulu orang menghormati kita disebabkan prinsip yang baik yang diikuti dan sekarang sudah merubah supaya orang tidak menghormati kita.
``Jadi dalam hal ini eloklah kalau kita menjaga acuan politik kita mengikut tata etika negara kita, hanya acuan yang sesuai yang boleh digunapakai untuk acuan politik di negara kita,’’ katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Kembara Kebajikan 1Malaysia 2016 di Dewan Serbaguna Hutan Melintang, dekat sini pada Ahad.
Terdahulu dalam ucapannya, Zahid menyokong pelaksanaan Program Kembara Kebajikan 1Malaysia kerana ia dapat menyemarakkan semangat kesukarelawan di kalangan anggota masyarakat untuk terlibat dalam kerja-kerja kebajikan melalui pendekatan pendampingan sosial.
Katanya, program itu juga akan menjadi platform untuk penyertaan pelbagai agensi, sektor korporat dan NGO dalam program khidmat sosial kepada komuniti melalui pendekatan strategi lautan biru kebangsaan (NBOS).